Sokongan Belanjawan redakan kenaikan kos, kuatkan keupayaan tenaga kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan Belanjawan redakan kenaikan kos, kuatkan keupayaan tenaga kerja

Persatuan perdagangan dan dewan perniagaan (TAC): Ia juga dorong syarikat dakap teknologi, di tengah ketidaktentuan global, kecerdasan buatan (AI)
Feb 13, 2026 | 4:21 PM

Sokongan Belanjawan redakan kenaikan kos, kuatkan keupayaan tenaga kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Budget 2026, Belanjawan 2026, TAC, artificial intelligence, kecerdasan buatan, AI, MRA, DPPMS, Snef
Persatuan perdagangan dan dewan perniagaan (TAC) menyambut baik langkah-langkah sokongan buat perniagaan yang diumumkan semasa Belanjawan 2026, termasuk yang akan membantu perniagaan menangani isu kos semakin meningkat, memperkukuh keupayaan tenaga kerja dan mendakap teknologi di tengah-tengah persekitaran luaran yang tidak menentu dan usaha pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) di peringkat negara. - Foto ZAOBAO

Langkah sokongan perniagaan dalam Belanjawan 2026 bukan sekadar meredakan kenaikan kos, malah menguatkan keupayaan tenaga kerja, ujar persatuan perdagangan dan dewan perniagaan (TAC).

Ini juga mendorong syarikat mendakap teknologi, di tengah ketidaktentuan global dan usaha negara memperkasa kecerdasan buatan (AI).

Langkah seperti peningkatan kepada Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) pula akan memacu syarikat yang ingin menebarkan sayap ke luar negara.

Menyambut baik sokongan yang diumumkan, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berkata Belanjawan 2026 menyediakan bantuan jangka pendek bagi perniagaan yang menghadapi tekanan kos.

Ini terlihat melalui rebat Cukai Pendapatan Korporat (CIT) sebanyak 40 peratus pada tahun penilaian 2026 yang dihadkan pada $30,000, yang akan membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) menangani tekanan aliran tunai di samping meneruskan usaha penyusunan semula dan transformasi mereka.

Dalam pada itu, langkah seperti inisiatif SkillsFuture yang dipertingkat dan Geran Huraian Produktiviti (PSG) yang diperluas pula akan membantu tenaga kerja mempertingkatkan kemahiran dan menyokong syarikat meningkatkan daya penghasilan.

DPPMS menambah bahawa perniagaan di kawasan warisan juga boleh meraih manfaat daripada inisiatif yang menyokong kemampanan perniagaan, kesediaan tenaga kerja dan produktiviti sementara memelihara daya tarikan budaya.

Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, berkata Belanjawan 2026 memberi isyarat jelas bahawa walaupun bantuan jangka pendek diperlukan, transformasi kekal penting.

“SME mesti menggunakan peluang sokongan ini untuk memperkukuh produktiviti, mempertingkat keupayaan dan meneroka peluang pertumbuhan serantau.

“DPPMS sentiasa bersedia membimbing anggota kami menempuh fasa seterusnya, daripada perancangan tenaga kerja dan penggunaan AI hingga ke usaha pengantarabangsaan, dengan memastikan perusahaan kita bukan hanya menangani tekanan yang dihadapi hari ini, malah muncul lebih kukuh dan lebih berdaya saing,” kata beliau.

Dengan arus perubahan AI yang pantas membentuk semula perniagaan dan pekerjaan, Belanjawan 2026 telah melakar inisiatif untuk melonjakkan penggunaan AI oleh perusahaan dan memperkasa pekerja dalam ekonomi yang digerakkan oleh kecerdasan buatan.

Antara langkahnya, Skim Inovasi Perusahaan (EIS) diperluaskan, membolehkan perbelanjaan AI ditolak cukai bagi tahun penilaian 2027 dan 2028, terhad kepada $50,000 setahun.

Turut diumumkan adalah penubuhan Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan baru, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, untuk menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI negara.

Dewan Perniagaan Antarabangsa Singapura (SICC) melihat penekanan Belanjawan terhadap pertumbuhan perusahaan, inovasi, dan kesediaan tenaga kerja sebagai respons yang praktikal kepada landskap operasi semasa. Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang berterusan.

“SICC menyambut baik dorongan kuat terhadap AI dan transformasi digital. Hala tuju nasional yang jelas, dengan sokongan kerangka pelaksanaan yang praktikal, adalah penting bagi membolehkan perniagaan mendakap dan melaksanakan AI secara berkesan pada skala yang besar,” kata dewan perniagaan itu.

“Dalam banyak aspek, Belanjawan 2026 merupakan sebuah belanjawan bagi era ketidaktentuan. Ia mengamalkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi bidang teknologi, percukaian, dan bakat, dengan azam yang jelas untuk meletakkan Singapura bukan sebagai pemerhati, tetapi sebagai peserta aktif dalam membentuk masa depan ekonominya,” tambahnya.

Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) turut menyambut baik langkah-langkah yang membantu majikan beralih dengan yakin ke arah ekonomi berasaskan AI, serta mengatasi kekangan kos dan jurang kemahiran, terutamanya bagi SME.

Snef menyatakan ia memahami kebimbangan mengenai kesan AI terhadap pekerjaan dan menghargai komitmen pemerintah dalam aspek rekaan semula pekerjaan, peningkatan kemahiran, dan latihan semula bagi membantu pekerja beralih ke peranan kerja dengan nilai lebih tinggi.

Ia juga menghargai sokongan dipertingkat untuk membantu perniagaan menebarkan sayap ke luar negara melalui peningkatan kepada Geran MRA.

“Majikan, terutamanya SME, akan dapat mengemudi ekonomi global yang semakin berpecah-belah dengan lebih yakin,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg