Daripada menganggap operasi yang dihentikan atau tidak menjadi sebagai satu kegagalan semata-mata, pemilik perniagaan makanan dan minuman (F&B) boleh juga melihatnya sebagai satu peluang perniagaan untuk menyemak strategi pemasaran mereka.
Malah, bagi perniagaan yang menghadapi tekanan kos seperti kenaikan sewa dan tenaga kerja, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) sedia membantu, lantas pemilik perniagaan tidak perlu rasa malu untuk mendapatkan nasihat daripada pihaknya, kata Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.
Data daripada Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) menunjukkan lebih 3,000 perniagaan F&B menutup operasi pada 2024, jumlah tertinggi sejak 2005, mencadangkan keadaan perniagaan yang mencabar untuk peniaga F&B.
“Seorang usahawan itu perlu tahu pasaran mereka, di mana terletaknya pelanggan mereka.
“Perlu pastikan anda kenali model perniagaan anda dan juga ‘costing’, iaitu proses menentukan jumlah perbelanjaan yang ditanggung dalam menghasilkan produk atau perkhidmatan.
“Peniaga yang bagus tahu bila untuk buka kedai dan bila perlu tutup kedai, mereka harus ada rancangan keluar (exit plan),” kata Encik Abdul Malik, yang juga pemilik Crave Nasi Lemak.
Berkongsi demikian di podcast berita dan hal ehwal semasa Berita Harian, NoTapis BHerbual, pada 27 Mei, Encik Abdul Malik menggalak pemilik perniagaan Melayu serta usahawan baru agar mendekati DPPMS untuk mendapatkan bimbingan daripada penasihatnya dan memanfaatkan sumber yang ada untuk mempelajari cara mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka.
Menurutnya, antara bantuan yang boleh didapati di DPPMS termasuk program pertumbuhan perniagaan, Protege Kita, yang baru tamat sesi keenamnya.
Ia telah memberi manfaat kepada 150 peserta.
Daripada program sedemikian, usahawan dapat mempelajari asas perniagaan, cipta rancangan perniagaan, pemasaran dan kewangan yang menyeluruh serta membangunkan rangkaian yang kukuh dan kemahiran menyampaikan idea.
Memberi contoh, beliau berkata adalah penting untuk peniaga mengambil langkah berjaga-jaga, terutama dalam menangani isu sewa yang meningkat.
“Jika kita jangkakan bahawa kos sewa akan meningkat pada tahun-tahun akan datang, kita perlu meraih keuntungan yang mencukupi agar dapat menampung kos tambahan,” ujarnya.
Di samping itu, Encik Abdul Malik, turut mengalu-alukan kehadiran pemilik perniagaan mikro untuk menghadiri program khusus DPPMS.
Dengan membahagikan modul kepada tiga tahap – asas, pertengahan dan lanjutan – perniagaan mikro akan dapat mempelajari, antara lain, topik seperti cara memudahkan sistem kewangan, penciptaan kandungan untuk memacu jualan dan cara mengembangkan perniagaan ke luar negara.
“Peniaga dari rumah dapat belajar cara mengembangkan perniagaan mereka.
“Ada yang tidak tahu bahawa tanpa mendaftarkan perniagaan dan memperoleh sijil daripada Acra, anda mungkin tidak layak untuk mendapatkan geran,” tambah Encik Abdul Malik.
Beliau akur masih terdapat jurang antara masyarakat dengan DPPMS yang perlu dirapatkan dan berkata:
“Selain daripada anggota DPPMS, adalah penting bagi masyarakat untuk mengambil langkah agar dapat mendekati DPPMS kerana mustahil untuk kami berjumpa dengan semua orang.
“Apa yang boleh kami lakukan adalah untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang yang sedia ada, itulah peranan DPPMS,” kata Encik Abdul Malik.
“
Apa yang boleh kami (DPPMS) lakukan adalah untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang yang sedia ada, itulah peranan DPPMS.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg