Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) bakal dipimpin presiden baru tidak lama lagi.
Pemilik Selera Rasa Nasi Lemak, Encik Abdul Malik Hassan, adalah calon tunggal yang bertanding untuk jawatan tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-66 dewan itu pada 24 April.
Jika dilantik, beliau akan menggantikan penyandang Encik Abu Bakar Mohd Nor.
Pada 4 April, persatuan perdagangan bagi perniagaan Melayu itu mengumumkan calon-calon bagi jawatan yang akan dipertandingkan pada AGM itu, yang termasuk timbalan presiden, setiausaha kehormat, penolong setiausaha kehormat, bendahari kehormat, penolong bendahari kehormat, dan pengerusi tetap.
Memegang jawatan timbalan presiden sebelum ini, Encik Azhar Othman daripada Enercon Asia akan bertanding bagi jawatan tersebut.
Dua calon akan bertanding bagi jawatan naib presiden, iaitu Encik Muhammad Syahiran Rohajat daripada MSR Interior Design dan Encik Fazli Mansor daripada ISGN Ventures. Tujuh calon akan bertanding bagi enam kerusi dalam lembaga pengarah.
Lama terlibat dalam perniagaan industri makanan, Encik Abdul Malik melihat pencalonannya sebagai peluang untuk memberi sumbangan lebih besar kepada masyarakat perniagaan Melayu.
“Sumber motivasi saya ialah komitmen mendalam untuk memperkasa masyarakat peniaga Melayu di Singapura.
“Saya telah melihat cabaran-cabaran yang kita hadapi dan saya percaya kepimpinan saya boleh memupuk pertumbuhan dan kerjasama untuk meningkatkan potensi kolektif kita,” kata beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Jika dilantik, pengasas bersama Crave Nasi Lemak itu berhasrat melaksanakan program yang dapat membantu individu berpendapatan rendah keluar daripada kitaran kemiskinan melalui keusahawanan.
Encik Abu Bakar, yang bersama DPPMS sejak 2019 dan menjadi presiden sejak 2023, menyambut baik kepimpinan Encik Abdul Malik.
“Saya kenal Encik Abdul Malik jauh sebelum beliau menyertai DPPMS dan saya sangat berterima kasih kerana beliau bersetuju menyertai dewan ini apabila saya menghampirinya semasa penggal lalu.
“Beliau adalah individu yang dikenali dalam masyarakat Melayu/Islam dan saya yakin beliau akan berjaya bersama Encik Azhar, yang juga merupakan timbalan presiden DPPMS kini,” ujar Encik Abu Bakar, pengasas bersama M Kapital Holdings.
Menyifatkan penggalnya sebagai presiden sebagai satu pengalaman yang “sangat bermakna”, Encik Abu Bakar berkata dewan itu telah mengharungi pelbagai cabaran, daripada pandemik Covid-19 kepada landskap ekonomi yang kian berubah.
Sementara itu, beliau menekankan bahawa AGM kali ini adalah detik penting bagi semua anggota untuk merenung kembali kemajuan yang telah dicapai, menilai cabaran semasa, dan merancang langkah seterusnya untuk masa depan dewan itu.
Beliau berkata kepimpinan baru yang akan dilantik dijangka membawa perspektif segar dan tenaga baru dalam memacu usaha-usaha DPPMS.
“Kami mempunyai individu-individu yang membawa pengalaman luas dari dalam DPPMS dan landskap perniagaan yang lebih luas, digabungkan dengan perspektif segar yang akan memberi tenaga baru kepada persatuan ini.
“Gabungan antara pemimpin berpengalaman dan pemikir inovatif ini akan memastikan bahawa kami dilengkapi untuk menangani keperluan anggota kami yang sentiasa berkembang sambil menyesuaikan diri dengan cabaran dan peluang baru,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg