Hampir dua pertiga daripada hartanah Sentosa Cove dijual pada harga rugi dalam tempoh tiga tahun lalu, manakala keuntungan penjualan semula daripada urus niaga yang menguntungkan merosot kira-kira 60 peratus, menurut hasil penyelidikan para penganalisis.

Kediaman berhalaman mencatat prestasi lebih baik berbanding kondominium, dengan kira-kira separuh daripada urus niaga penjualan semula kediaman berhalaman merekodkan keuntungan sejak 2023.

Sentosa merupakan satu-satunya lokasi di Singapura di mana warga asing dibenarkan membeli hartanah berhalaman, tertakluk kepada kelulusan daripada pemerintah.

Nilai modal bagi kediaman pajakan 99 tahun yang dibina di Sentosa telah lama ketinggalan berbanding hartanah di tanah besar.

Permintaan terhad terhadap pulau berkenaan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kemudahan akses dan harga.

Manakala, kenaikan mendadak cukai setem bagi pembeli warga asing pada 2023 semakin menjejas pasaran kediaman mewah itu – yang sejak awal lagi dipromosikan sebagai lokasi pilihan golongan kaya. 

Menurut data yang dikumpulkan Mogul.sg – yang turut merangkumi data kediaman berhalaman dan bukan berhalaman – sebanyak 64.5 peratus daripada urus niaga penjualan semula antara Mei 2023 dengan Jun 2026 mengalami kerugian, meningkat daripada 62.8 peratus antara Mac 2020 dengan April 2023.

Meskipun purata kerugian bagi urus niaga yang merugikan menurun kepada $1.28 juta daripada $1.56 juta, keuntungan kasar bagi penjualan semula yang menguntungkan merosot kira-kira 62 peratus kepada $655,590 daripada $1.75 juta, jelas Mogul.sg.

Angka ini tidak termasuk cukai setem, cukai hartanah, yuran guaman dan komisen ejen.

“Secara keseluruhan, prospek bagi pemilik hartanah di Sentosa Cove kelihatan tidak begitu baik,” kata ketua pegawai penyelidikan di Mogul.sg, Encik Nicholas Mak.

Analisis berasingan oleh perunding hartanah, Cushman & Wakefield, turut mendapati kebanyakan urus niaga penjualan semula di kawasan eksklusif berkenaan mengalami kerugian.

Antara 2021 dengan separuh pertama 2026, Cushman & Wakefield mendapati hanya 83 daripada 244 urus niaga penjualan semula kediaman bukan berhalaman mencatat keuntungan.

Bagi kediaman berhalaman yang dijual semula pula, 23 daripada 47 urus niaga merekodkan keuntungan.

Ketua penyelidik bagi Singapura dan Asia Tenggara di Cushman & Wakefield, Encik Wong Xian Yang, berkata kediaman berhalaman secara umumnya dapat mengekalkan nilainya dengan lebih baik berbanding hartanah bukan berhalaman.

Namun, lebih separuh urus niaga penjualan semula kediaman berhalaman kekal mengalami kerugian, sekali gus “menunjukkan bahawa tekanan harga tidak terhad kepada segmen kondominium sahaja”.

Sehingga suku kedua 2026, Sentosa mempunyai kira-kira 392 kediaman berhalaman berbanding 1,766 kediaman bukan berhalaman, menurut data Cushman & Wakefield.

Salah satu faktor yang menjejas pasaran Sentosa Cove ialah kumpulan pembeli yang kecil, kata para penganalisis.

“Sentosa merupakan lokasi berteraskan gaya hidup yang lebih menarik minat pembeli warga asing berbanding pembeli tempatan,” kata ketua penyelidik bagi Singapura di Newmark, Cik Shanting Wong.

Pembeli tempatan dilihat kurang berminat dengan lokasi berkenaan memandangkan mereka sudah terbiasa tinggal di tanah besar, tambah beliau.

Encik Wong dari Cushman & Wakefield pula menjelaskan bahawa Sentosa Cove memikat pembeli yang mencari kediaman mewah bersaiz besar di persekitaran tepi laut yang eksklusif, pada harga setiap kaki persegi (psf) lebih rendah berbanding kediaman seumpamanya di kawasan mewah tradisional Singapura.

Meskipun unit kondominium di kawasan eksklusif berkenaan biasanya berukuran antara 1,900 kaki persegi dengan 2,400 kaki persegi, permintaannya kekal agak terhad kerana “lebih banyak isi rumah tempatan masih mengutamakan kediaman lebih dekat dengan sekolah dan kemudahan awam di tanah besar”, kata beliau.