Perbelanjaan pelancongan S’pura catat rekod $23.9b, didorong tawaran baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbelanjaan pelancongan S’pura catat rekod $23.9b, didorong tawaran baru

Feb 3, 2026 | 4:05 PM

Perbelanjaan pelancongan S’pura catat rekod $23.9b, didorong tawaran baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, tourism, spending, 2025
Ketibaan pelawat antarabangsa ke Singapura meningkat kepada 16.9 juta pada 2025, naik 2.3 peratus berbanding 2024. - Foto BT

Perbelanjaan pelancongan Singapura melonjak ke paras rekod $23.9 bilion dalam tiga suku pertama 2025, peningkatan 6.5 peratus berbanding 2024.

Ini meletakkan sektor itu di landasan tepat untuk mengatasi sasaran Lembaga Pelancongan Singapura (STB) antara $29 bilion hingga $30.5 bilion.

Ketibaan pelawat antarabangsa turut naik kepada 16.9 juta pada 2025, meningkat 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, hampir menyamai ramalan STB sebanyak 17 juta hingga 18.5 juta.

China (3.1 juta), Indonesia (2.4 juta), dan Malaysia (1.3 juta) kekal sebagai pelawat yang menjadi penyumbang utama, diikuti Australia (1.3 juta) dan India (1.2 juta).

Beberapa negara seperti Jepun (10 peratus), Malaysia (8 peratus), dan Amerika Syarikat (5 peratus) mencatat kenaikan jumlah pelawat berbanding 2024.

Bagaimanapun, ketibaan dari beberapa pasaran serantau merosot akibat kepekaan harga yang lebih tinggi, menurut STB.

Penurunan ini juga seiring dengan keadaan pasaran yang kembali stabil selepas Singapura menganjurkan persembahan artis antarabangsa besar pada 2024, termasuk konsert Bruno Mars, Coldplay dan Taylor Swift.

Pelawat dari Vietnam turun daripada 393,000 pada 2024 kepada 344,000 pada 2025, manakala Filipina pula berkurangan kepada 726,000 berbanding 779,000.

“Prestasi pendapatan pelancongan yang kukuh pada 2025 ini meletakkan kita pada hala tuju stabil untuk mencapai aspirasi Pelancongan 2040,” ujar Ketua Eksekutif STB, Cik Melissa Ow, dalam kenyataan media pada 3 Februari.

Pelancongan 2040 adalah visi STB untuk memacu pertumbuhan pelancongan negara, dengan fokus pada pelancongan bermutu di tengah persaingan global dan perubahan demografi.

“Kami menarik pelawat yang menghargai pengalaman unik yang ditawarkan Singapura. Untuk mengekalkan momentum ini dan mengukuhkan daya tarikan destinasi serta status negara sebagai hab global, kami akan terus membangunkan rangkaian produk, acara dan pengalaman yang unik,” tambah Cik Ow.

STB menjangkakan ketibaan pelawat antarabangsa ke Singapura pada 2026 akan mencapai antara 17 dengan 18 juta, dengan perbelanjaan pelancongan dijangka mencapai $31 bilion hingga $32.5 bilion.

Pertumbuhan pendapatan pelancongan pada 2025 didorong oleh kategori persiaran, hiburan dan permainan, serta makanan dan minuman (F&B), yang masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 15 peratus.

China ($3.68 bilion), Indonesia ($2.09 bilion) dan Australia ($1.54 bilion) adalah tiga pasaran utama yang menyumbang kepada perbelanjaan pelancongan terbesar.

Angka penuh pendapatan pelancongan 2025 akan diumumkan pada suku kedua 2026

Prestasi perbelanjaan yang kukuh ini, kata STB, didorong pengalaman baru dan yang diperbaharui merentasi pelbagai industri seperti tarikan, acara, pelayaran serta Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (Mice).

Antara tarikan pada 2025 ialah Rainforest Wild and Curiosity Cove di Mandai Wildlife Reserve; Jurassic World: The Experience di Gardens by the Bay; serta Singapore Oceanarium di Resorts World Sentosa (RWS).

Landskap kulinari republik ini turut berkembang dengan konsep santapan baru seperti Belimbing oleh The Lo & Behold Group; Pop City oleh Jigger & Pony Group; Gilmore & Damian D’Silva; dan Rempapa oleh OUE Restaurants, tambah STB.

Singapura turut mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat acara terkemuka Asia dengan menganjurkan acara besar seperti Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura, Kejohanan Akuatik Dunia 2025, serta konsert yang menampilkan artis antarabangsa termasuk Lady Gaga dan Blackpink.

Industri Mice turut menyumbang signifikan melalui acara besar seperti Sidang Puncak Asia Institut Milken dan HealthTechX Asia 2025.

Republik ini juga menduduki tempat ketiga global dan pertama di Asia-Pasifik bagi bilangan acara persidangan dan kongres antarabangsa, menurut senarai Persatuan Kongres dan Persidangan Antarabangsa (ICCA), mengukuhkan lagi daya tarikan Singapura sebagai destinasi utama perniagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg