Ekonomi Singapura tumbuh lebih sederhana pada suku ketiga, sebanyak 5.4 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya.

Berdasarkan perbandingan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.1 peratus, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 1.5 peratus pada suku kedua.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) pada 14 Oktober.

Perangkaan METI menunjukkan, sektor pengilangan meningkat sebanyak 7.5 peratus pada suku ketiga berbanding tempoh sama pada 2025.

Ini lebih perlahan berbanding pertumbuhan 12.9 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor pembinaan mencatat kenaikan sebanyak 8.8 peratus berbanding pada suku ketiga tahun lalu, lebih pantas berbanding pertumbuhan 6.1 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan pengeluaran pembinaan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta.

Dalam kalangan sektor perkhidmatan, sektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan tumbuh secara kolektif sebanyak 8 peratus pada suku ketiga berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus, meneruskan rentak pertumbuhan 6.9 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Semua sektor dalam kumpulan ini telah menunjukkan pertumbuhan pada suku tersebut, kecuali sektor perdagangan runcit, tambah kenyataan itu.

Pertumbuhan dalam sektor perdagangan borong dipacu oleh segmen mesin, peralatan dan bekalan, yang mencatat peningkatan kukuh seiring lonjakan kuat dalam eksport barangan elektronik bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, pertumbuhan dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan sebahagian besarnya didorong oleh segmen pengangkutan laut dan udara.

Berdasarkan asas pelarasan musim suku ke suku, sektor perdagangan borong dan runcit, serta pengangkutan dan penyimpanan secara keseluruhan berkembang sebanyak 2.2 peratus, meningkat berbanding pertumbuhan sifar pada suku kedua.

Kumpulan sektor merangkumi maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, serta perkhidmatan profesional berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, menurun sedikit berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada suku sebelumnya.

Kesemua sektor dalam kumpulan tersebut mencatat pertumbuhan sepanjang suku berkenaan.

Pertumbuhan dalam sektor maklumat dan komunikasi pula didorong oleh segmen teknologi maklumat (IT) dan perkhidmatan maklumat.

Manakala, sebahagian besar sektor perkhidmatan profesional didorong oleh segmen seni bina dan kejuruteraan, serta perkhidmatan ujian dan analisis teknikal.

Pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans pula dipacu oleh segmen pengurusan dana dan perkhidmatan perbankan.

Berdasarkan asas pelarasan musim suku ke suku, kumpulan sektor ini berkembang sebanyak 0.4 peratus, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada suku kedua.

Pertumbuhan dalam baki kumpulan sektor perkhidmatan – yang merangkumi perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, pentadbiran dan perkhidmatan sokongan, serta industri perkhidmatan lain – berada pada kadar 2.1 tahun ke tahun pada suku ketiga, melanjutkan pertumbuhan 2.4 peratus pada suku sebelumnya.

Kesemua sektor dalam kumpulan ini berkembang sepanjang suku berkenaan, kecuali sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), jelas kenyataan itu.

Berdasarkan asas pelarasan musim suku ke suku, sektor dalam kumpulan ini secara keseluruhan berkembang sebanyak 0.6 peratus, kurang sedikit berbanding pertumbuhan 0.8 peratus pada suku kedua.

Menurut METI, anggaran awal Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi suku ketiga 2026, termasuk prestasi mengikut sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pengambilan pekerja dan produktiviti, akan dikeluarkan dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada November 2026.