Topik diikuti
Pergi ke BHkuEkonomi S’pura lebih kukuh, unjuran GDP 2026 naik kepada 6%
Ekonomi S’pura lebih kukuh, unjuran GDP 2026 naik kepada 6%
Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan 2026 berikutan peningkatan pengeluaran dan eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI), tetapi menjangka kadar prestasi akan menjadi lebih sederhana pada 2027.
Unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dinaikkan kepada sekitar 6 peratus, daripada julat 4.5 hingga 5.5 peratus yang diunjurkan pada Ogos, kata Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) pada 24 November.
Dalam unjuran pertamanya bagi 2027, METI berkata ekonomi berkemungkinan berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.5 hingga 4.5 peratus, memandangkan kadar pelaburan dalam AI semakin sederhana dan kebanyakan rakan dagang utama Singapura kehilangan momentum.
Penambahbaikan unjuran pertumbuhan 2026 oleh METI itu dibuat walaupun ekonomi berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 6.1 peratus tahun-ke-tahun pada suku ketiga, menurun daripada pengembangan 6.4 peratus (disemak semula) pada suku sebelumnya.
Ini menjadikan pertumbuhan bagi tiga suku pertama 2026 sebanyak 6.2 peratus.
Secara suku tahunan yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi berkembang 1.5 peratus, menjadi lebih sederhana berbanding pertumbuhan 1.8 peratus pada suku kedua.
Semakan terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2026 dibuat walaupun sektor perkilangannya menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan. Pada September, pengeluaran kilang meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Angka itu jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan sebanyak 15.4 peratus yang dicatatkan pada Ogos, menurut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Oktober.
Angka itu jauh lebih rendah daripada unjuran 7.1 peratus oleh ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.
Namun, Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 79.8 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Oktober, daripada 68.3 peratus pada September, menurut data daripada Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 November.
Pecahan GDP suku ketiga menunjukkan sektor pembuatan berkembang 8.5 peratus tahun-ke-tahun pada suku ketiga, menjadi lebih sederhana berbanding pertumbuhan 13.2 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan pada suku tersebut disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran dalam beberapa sektor, iaitu elektronik, kejuruteraan jitu, kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan am. Peningkatan itu berjaya mengimbangi penurunan pengeluaran dalam sektor kimia dan bioperubatan.
Khususnya, permintaan global yang kukuh berkaitan AI terus menyokong pertumbuhan dalam kluster elektronik dan kejuruteraan jitu.
Sementara itu, sektor perdagangan borong berkembang 14.5 peratus tahun-ke-tahun, lebih pantas daripada pertumbuhan 9.8 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan sektor itu diterajui oleh segmen jentera, peralatan dan bekalan, yang mencatatkan pengembangan kukuh dalam jumlah borong bagi telekomunikasi dan komputer serta komponen elektronik, disokong sebahagian besarnya oleh permintaan global yang kukuh bagi elektronik berkaitan AI.
Jumlah borong dalam segmen bahan api dan kimia serta segmen “lain-lain”, yang merangkumi logam, kayu dan bahan binaan, peralatan rumah dan perabot, serta makanan, minuman dan tembakau, antara lain, merosot sepanjang suku tersebut.
Jumlah borong dalam segmen bahan api dan kimia turut terjejas akibat gangguan bekalan minyak yang disebabkan oleh konflik Timur Tengah.