Ekonomi Singapura dijangka terus berkembang pada suku-suku tahun akan datang, walaupun pertumbuhan kegiatan berkaitan kecerdasan buatan (AI) diramal menjadi lebih sederhana pada separuh kedua 2027.

Dalam tempoh terdekat, tempahan kukuh bagi produk AI dan peningkatan keupayaan pengeluaran “dijangka mengekalkan pertumbuhan kukuh dalam sektor berkaitan teknologi”.

Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam tinjauan makroekonominya pada 14 Oktober.

Laporan itu menyusuli anggaran awal Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) yang menunjukkan ekonomi Singapura tumbuh 5.4 peratus pada suku ketiga berbanding setahun lalu.

MAS turut mengekalkan tetapan dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer) bertentangan dengan jangkaan ahli ekonomi sektor swasta, selepas dua kali mengetatkan dasar itu awal 2026.

Bank pusat itu menjangka inflasi teras “menurun dengan lebih ketara” mulai pertengahan 2027, namun risiko kenaikan inflasi masih wujud akibat kemungkinan gangguan tenaga di Timur Tengah dan cuaca buruk yang boleh melonjakkan harga makanan.

MAS menyatakan ekonomi Singapura “berkembang pada kadar melebihi trend jangka panjang”, disokong sektor teknologi yang memacu pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada suku ketiga.

Tempahan tertunggak yang tinggi dan peluasan keupayaan pengeluaran barangan AI dijangka mengekalkan pertumbuhan dalam tempoh terdekat.

Pelaburan AI di seluruh dunia juga kekal sebagai pemacu utama ekonomi, walaupun pertumbuhannya dijangka menjadi lebih sederhana.

Di Singapura, kegiatan berkaitan AI dijangka perlahan pada separuh kedua 2027, manakala sektor pembinaan dan perkhidmatan kewangan terus berkembang pesat.

Permintaan terhadap pengkomputeran dan pusat data dijangka meningkat sepanjang 2027, menyebabkan perbelanjaan modal lebih tinggi oleh syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat.

Pengeluaran semikonduktor juga dijangka kekal tinggi dan mungkin meningkat lagi apabila keupayaan pengeluaran baharu mula beroperasi.

Menurut MAS, risiko kemerosotan kitaran AI “belum begitu mendesak”. Pertumbuhan yang jauh lebih lemah berkemungkinan hanya berlaku jika tercetus kejutan kewangan susulan perubahan mendadak dalam penilaian terhadap jangkaan pulangan dalam ekosistem AI.

Antara kemungkinan yang berlaku ialah “kejutan kredit prasarana AI”, di mana pulangan AI lebih rendah daripada jangkaan menyebabkan syarikat teknologi gergasi mengurangkan perbelanjaan modal dan mencetuskan penilaian semula pelaburan AI yang dibiayai melalui hutang.

Keadaan ini boleh mengetatkan pembiayaan, melambatkan projek dalam rantaian bekalan AI dan mencetuskan kemerosotan berterusan dalam pelaburan serta pertumbuhan ekonomi dunia.

MAS menjangkakan inflasi teras Singapura “kekal sedikit tinggi pada suku-suku tahun terdekat”, sebelum menurun lebih ketara mulai pertengahan 2027.

Inflasi teras dan keseluruhan diramalkan masing-masing mencatat purata 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2027. Bagi 2026, inflasi teras dijangka antara 1.5 dengan 2 peratus, manakala inflasi keseluruhan sekitar 2 peratus.

Inflasi teras meningkat kepada 2.1 peratus pada Julai dan Ogos berbanding setahun lalu, daripada 1.5 peratus pada suku kedua.

MAS mengaitkannya dengan kenaikan kos tenaga dan import yang meningkatkan harga elektrik, gas, makanan, tambang penerbangan serta pengangkutan dari satu tempat-ke-satu tempat (P2P).

Bagaimanapun, subsidi penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan diskaun telekomunikasi membantu mengimbangi sebahagian kenaikan itu.

“Secara keseluruhannya, kenaikan harga semakin meluas tetapi pada kadar yang agak perlahan,” tambah MAS.

Harga minyak mentah Brent dan bahan api bertapis kembali meningkat akibat konflik di Timur Tengah.

Harga dijangka kekal tinggi beberapa bulan lagi sebelum berkurang sepanjang 2027 apabila bekalan minyak dan gas pulih.

Gangguan cuaca akibat El Nino juga boleh menaikkan harga makanan, namun bekalan yang mencukupi di negara pengeluar utama dijangka dapat mengawal kenaikan harga.

MAS menjangkakan kesannya terhadap harga makanan Singapura berkurangan pada separuh kedua 2027 apabila gangguan cuaca reda.

Ekonomi dunia kekal berdaya tahan meskipun berdepan kejutan tenaga, disokong pertumbuhan sektor teknologi.

Sumber bekalan lain, penggunaan stok simpanan, permintaan minyak yang lebih rendah dan subsidi pemerintah membantu mengurangkan kesannya.

Berikutan kadar inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan, MAS menurunkan ramalan inflasi dunia kepada 2.5 peratus bagi 2026 dan 2 peratus bagi 2027, berbanding ramalan sebelumnya sebanyak 2.7 peratus dan 2.2 peratus dalam tinjauan Julai.

Namun, inflasi keseluruhan dunia dijangka meningkat sedikit dalam beberapa bulan akan datang apabila kenaikan kos tenaga terus dirasai pengguna.

MAS menganggarkan sehingga satu pertiga kesan kejutan tenaga masih belum dirasai pengguna melalui kenaikan harga, sebelum inflasi menurun secara beransur-ansur pada 2027.

Bagi Singapura, keadaan kewangan dunia yang semakin ketat boleh menjejas pertumbuhan dan inflasi, manakala penghantaran minyak mentah dan produk sulingan dari Timur Tengah yang pulih lebih cepat boleh menyebabkan inflasi turun lebih cepat daripada jangkaan.

MAS menyatakan pasaran pekerja Singapura kekal mantap, dengan kekosongan jawatan masih melebihi jumlah penganggur dan kadar pengangguran penduduk tempatan kekal rendah, walaupun pemberhentian pekerja meningkat.

Pertumbuhan gaji dijangka kembali menghampiri kadar purata sejarah, manakala pertumbuhan kos pekerja seunit kekal rendah berikutan peningkatan daya penghasilan.

Sektor pembinaan dan perkhidmatan tempatan dijangka menyokong pengambilan pekerja, namun pertumbuhan penggunaan tenaga penduduk tempatan akan perlahan apabila bekalan tenaga kerja berkembang lebih perlahan akibat penuaan penduduk.