Ekonomi Singapura tumbuh pada suku pertama 2024 pada rentak paling lembap dalam setahun, disebabkan pengembangan lebih perlahan sektor pengilangan, yang dirangsang eksport.
Demikian menurut anggaran muktamad yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 23 Mei.
Dari segi suku ke suku setelah diselaraskan secara musiman, ekonomi berkembang 0.1 peratus pada Januari hingga Mac 2024, lebih perlahan daripada pertumbuhan 1.2 peratus pada suku akhir 2023, menurut MTI.
Ia adalah kadar pertumbuhan paling lemah sejak penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2023.
Prestasi itu membantu ekonomi tumbuh 2.7 peratus pada suku pertama 2024 berbanding suku pertama 2023, dan lebih tinggi daripada pengembangan 2.2 peratus pada suku akhir 2023, lapor The Straits Times.
Bagaimanapun, ia masih kurang daripada ramalan pertumbuhan median 3 peratus oleh pakar ekonomi dalam satu tinjauan Bloomberg News.
Bagi keseluruhan 2024, MTI mengekalkan ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 1 hingga 3 peratus, sambil menyatakan sektor perkilangan dan berkaitan perdagangan Singapura dijangka menikmati pertumbuhan yang meningkat secara beransur-ansur sepanjang 2024.
“Dalam sektor perkilangan, kelompok elektronik dijangka pulih secara beransur-ansur pada beberapa suku mendatang, disokong permintaan bagi semikonduktor untuk pasaran akhir seperti telefon bijak, PC (komputer peribadi) dan AI (kecerdasan buatan),” ujar MTI dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, MTI memberi amaran bahawa Singapura masih terus terdedah kepada pelbagai risiko dalam ekonomi dunia.
“Peningkatan dalam ketegangan geopolitik di Timur Tengah atau perang di Ukraine boleh mengganggu rantaian bekalan dunia dan pasaran komoditi,” katanya.
Selain itu, jika inflasi di negara maju terus berpanjangan, bank pusat di sana boleh memperketat lagi dasar kewangan masing-masing dan mencetuskan kerentanan yang berpotensi berlaku dalam sistem perbankan dan kewangan.
Di samping risiko tersebut, bank pusat di negara maju masih dijangka mengurangkan kadar faedah penanda aras pada 2024 sedang inflasi semakin reda, dan ini pula dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.
Dalam satu taklimat media secara maya, Setiausaha Tetap MTI, Encik Gabriel Lim, berkata: “Melihat ke hadapan, pertumbuhan GDP dalam ekonomi utama dijangka turun secara beransur-ansur pada suku terdekat, disebabkan keadaan kewangan yang ketat, sebelum ia meningkat seiring dengan kadar faedah yang dijangka dikurangkan pada tahun ini.”
Sementara itu, sektor perkhidmatan yang meningkat dengan kukuh dapat mengurangkan tekanan dari seluruh dunia yang melemahkan ekonomi.
Walaupun sektor perkilangan menguncup 1.8 peratus pada suku pertama 2024 berbanding tempoh sama 2023, dan turun 5.4 peratus berbanding suku akhir 2023, sektor perkhidmatan berkembang 3.9 peratus pada suku pertama 2024 berbanding tempoh sama 2023, dan naik 1.9 peratus berbanding suku akhir 2023.
Menurut MTI, pemulihan lebih kukuh dalam permintaan perjalanan udara dan pelancongan akan terus meningkatkan pertumbuhan sektor berkaitan penerbangan dan pelancongan, seperti penginapan, pengangkutan udara dan aeroangkasa.
Pertumbuhan itu turut dinikmati sektor yang berinteraksi secara langsung dengan pengguna seperti niaga runcit dan khidmat makanan dan minuman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg