Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport S’pura bagi Sep jatuh pada kadar lebih perlahan

Merosot 13.2% daripada setahun lalu namun naik 11.1% berbanding Ogos, yang merosot 6.6%
Oct 17, 2023 | 2:23 PM
EKSPORT TERUS SUSUT: Eksport utama Singapura merosot 13.2 peratus pada September daripada setahun lalu. Ini berbanding penguncupan 22.5 peratus pada Ogos.
EKSPORT TERUS SUSUT: Eksport utama Singapura merosot 13.2 peratus pada September daripada setahun lalu. Ini berbanding penguncupan 22.5 peratus pada Ogos. - Foto PSA SINGAPORE

Eksport utama Singapura terus merosot buat bulan ke-12 berturut-turut pada September, tetapi dengan peratusan lebih kecil daripada pada Ogos.

Eksport domestik bukan minyak (Nodx) Singapura turun 13.2 peratus pada September daripada bulan sama tahun lalu, menyusuli penguncupan yang disemak sebanyak 22.5 peratus pada Ogos, menurut data agensi perdagangan Enterprise Singapura (EnterpriseSG) pada Selasa.

Kemerosotan itu lebih rendah daripada yang dijangka.

Ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters menjangka penurunan sebanyak 14.7 peratus, manakala ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg meramalkan penurunan 15 peratus.

Bagaimanapun, eksport pada September naik 11.1 peratus daripada bulan sebelumnya, membalikkan penurunan 6.6 peratus pada Ogos, lapor The Straits Times.

Pada September, kejatuhan dalam Nodx sebahagian besarnya disebabkan kiriman bukan elektronik.

Nodx bukan elektronik merosot sebanyak 13.6 peratus dari tahun ke tahun, prestasi lebih baik berbanding penguncupan 22.9 peratus pada Ogos.

Emas bukan kewangan, farmaseutikal dan penyediaan makanan menyumbang paling banyak kepada penurunan itu.

Kiriman barangan elektronik jatuh 11.6 peratus dari tahun ke tahun pada September. Ini juga adalah prestasi lebih baik berbanding penguncupan 21.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Litar bersepadu, komputer peribadi dan bahagian komputer peribadi menyumbang paling banyak kepada kemerosotan itu.

Kiriman barangan ke 10 pasaran teratas Singapura kebanyakannya merosot, kecuali eksport ke China, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Penyumbang terbesar kepada penurunan itu ialah Taiwan, Indonesia dan Thailand.

Jumlah dagangan merosot sebanyak 12.3 peratus pada September daripada bulan sama tahun lalu. Ini menyusuli penguncupan 15.5 peratus pada Ogos.

Eksport domestik minyak susut 17 peratus dari tahun ke tahun pada September, selepas penguncupan 24.7 peratus pada Ogos.

Penurunan dalam eksport minyak disebabkan kiriman lebih rendah ke Australia, Hong Kong dan Malaysia.

Pemerintah meramalkan Nodx akan menguncup 9-10 peratus pada 2023.

Angka Nodx amat penting kerana Singapura adalah ekonomi terbuka yang amat bergantung pada perdagangan luar sebagai salah satu pemacu pertumbuhan utama ekonominya.

Data terkini Bank Dunia menunjukkan eksport barangan dan perkhidmatan adalah sekitar 185 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura pada 2021, naik daripada 182 peratus pada 2020.

Ini berbeza daripada negara Asean lain, yang ekonominya lebih bergantung pada permintaan domestik.

Ketua penyelidikan dan strategi perbendaharaan OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata Nodx menunjukkan eksport Singapura ke negara lain dan oleh itu, ia mengambil ‘nadi permintaan luar’ dan kesihatan ekonomi global.

Nodx ialah eksport yang berasal dari Singapura. Ini termasuk komoditi yang dihasilkan di sini dan barangan yang melalui transformasi di sini – dikeluarkan, dipasang atau diproses di Singapura.

Eksport semula bukan minyak pula ialah barangan yang dieksport dari Singapura dalam bentuk sama seperti yang diimport tanpa diubah. Ini bererti tiada nilai tambah yang dibuat oleh pengilang tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg