Eksport domestik bukan minyak (Nodx) Singapura susut untuk tiga bulan berturut-turut, sebanyak 9.3 peratus pada April, lebih baik sedikit berbanding April 2023.
Angka tersebut juga lebih rendah daripada kemerosotan eksport yang disemak sebanyak 20.8 peratus pada Mac 2024.
Agensi perdagangan Enterprise Singapore berkata pada 17 Mei bahawa penurunan itu adalah kerana ia dibandingkan dengan asas tinggi setahun lalu.
Ini memandangkan eksport sebanyak $15.4 bilion pada April 2023 adalah lebih tinggi daripada eksport berjumlah $14.4 bilion sebulan secara purata bagi keseluruhan 2023, lapor The Straits Times (ST).
Paling ketara, eksport barangan elektronik meningkat semula – prestasi menggembirakan kerana ia menunjukkan asas permintaan bagi barangan tersebut masih kukuh, walaupun kiriman produk farmaseutikal yang tidak menentu terus menguncup.
Bagaimanapun, pakar ekonomi di Maybank, Encik Brian Lee, menarik perhatian bahawa walaupun Nodx elektronik terus berkembang, segmen semikonduktor utama yang membentuk sekitar separuh eksport elektronik Singapura, terus susut.
Prestasi Nodx pada April juga lebih teruk sedikit daripada penguncupan 8.9 peratus yang diramal oleh beberapa pakar ekonomi yang ditinjau Bloomberg.
Setelah diselaraskan secara musiman, yang menghilangkan kesan perbezaan dalam perangkaan disebabkan faktor musiman, Nodx meningkat 7.6 peratus kepada $14 bilion pada April, berbanding Mac.
Ini kurang daripada pertumbuhan 9.2 peratus yang dijangka Bloomberg.
Eksport barangan farmaseutikal atau ubat-ubatan, terus merosot. Ia menjunam 73.3 peratus kepada $843.8 juta pada April, selepas turun 70.3 peratus pada Mac.
Ketua pakar ekonomi di Standard Chartered Bank, Encik Edward Lee, berkata tidak termasuk barangan farmaseutikal, Nodx pada April 2024 akan naik 7.3 peratus, berbanding April 2023.
Walaupun terdapat peningkatan dalam kiriman barangan elektronik, eksport semikonduktor menguncup 3.6 peratus, katanya.
Pertumbuhan eksport elektronik dirangsang oleh kiriman komputer peribadi (PC), produk media cakera dan peralatan komputer lain.
Eksport barangan bukan elektronik susut sebanyak 12.3 peratus pada April 2024 berbanding April 2023, dan lebih baik daripada kemerosotan 23.2 peratus yang dicatat pada Mac.
Ini sebahagian besarnya didorong oleh eksport yang berkurangan bagi barangan farmaseutikal, enjin dan motor bukan elektrik, serta penyediaan makanan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg