Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada Rabu meramalkan pemulihan sederhana bagi eksport utama Singapura pada 2024 selepas menurunkan unjurannya bagi 2023 menyusuli prestasi eksport yang lebih buruk daripada jangkaan.
Agensi perdagangan itu kini menjangka Eksport Domestik Bukan Minyak (Nodx) Singapura menyusut sebanyak 12 peratus hingga 12.5 peratus pada 2023, berbanding unjuran pada Ogos, iaitu penguncupan 9 hingga 10 peratus.
Bagi 2024, Nodx diunjurkan meningkat sebanyak 2 hingga 4 peratus seiring jangkaan pemulihan dalam permintaan elektronik sejagat, menurut laporan The Straits Times (ST).
EnterpriseSG menyatakan bahawa permintaan elektronik sejagat dijangka pulih secara beransur-ansur pada 2024, sedang tahap inventori menjadi normal.
“Ini akan menyokong jumlah perdagangan dan pertumbuhan Nodx,” katanya.
Jumlah dagangan barangan, termasuk minyak, diramal susut sekitar 10 peratus pada 2023, mengecil daripada unjuran Ogos iaitu penguncupan 9 hingga 10 peratus.
Bagi 2024, ia diramal berkembang sebanyak 4 hingga 6 peratus dengan jangkaan harga minyak lebih tinggi.
Bagi suku ketiga 2023, Nodx turun 18.8 peratus tahun ke tahun kepada $41.9 bilion – melanjutkan penurunan 13.4 peratus pada suku sebelumnya, kata EnterpriseSG dalam semakan perdagangan suku tahunannya yang terkini.
Barangan elektronik, yang membentuk 20.9 peratus daripada Nodx pada suku ketiga, menguncup 20 peratus, lebih baik sedikit daripada penguncupan 22 peratus pada suku sebelumnya.
Litar bersepadu, produk media cakera dan bahagian komputer peribadi memberi sumbangan terbanyak kepada penurunan itu.
Barangan bukan elektronik menyusut 18.5 peratus, disebabkan eksport lebih rendah bagi emas bukan kewangan, petrokimia dan struktur kapal dan bot. Penurunan itu lebih curam daripada kemorosotan 10.8 peratus pada suku keempat.
Nodx ke pasaran utama Singapura, kecuali Hong Kong, jatuh pada suku ketiga, dengan Taiwan dan Indonesia memberi sumbangan terbanyak kepada penurunan itu.
EnterpriseSG turut menarik perhatian cabaran dalam ekonomi sejagat termasuk inflasi, konflik Israel-Hamas dan peperangan Russia-Ukraine boleh menyebabkan gangguan baru kepada bekalan.
Pakar ekonomi Penyelidikan Kumpulan DBS, Encik Chua Han Teng, berkata eksport elektronik Singapura dijangka meraih manfaat daripada pemulihan “sederhana” dalam jualan semikonduktor sejagat dan keyakinan jangka sederhana terhadap cip berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Pada suku ketiga, perdagangan bukan minyak merosot 14.1 peratus tahun ke tahun kepada $247.2 bilion, manakala jumlah perdagangan barangan turun 16.4 peratus kepada $305.4 bilion – lebih baik sedikit berbanding kemerosotan 18.7 peratus pada suku kedua 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg