Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura lebihi ramalan 2025, pertumbuhan sederhana dijangka pada 2026

Dec 17, 2025 | 4:31 PM
eksport S’pura, Nodx, Enterprise Singapore
Bagi 11 bulan pertama 2025, eksport bukan minyak dalam negeri (Nodx) meningkat 4.8 peratus, menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG). - Foto ST

Pakar ekonomi meramalkan eksport utama Singapura akan melangkaui jangkaan rasmi pada 2025.

Namun, pertumbuhannya dijangka sederhana pada 2026 susulan kesan tertangguh tarif Amerika Syarikat dan putaran teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mula perlahan.

Ini didorong oleh peningkatan 11.6 peratus eksport domestik bukan minyak (Nodx) pada November, terutamanya dari penghantaran farmaseutikal yang berubah-ubah serta produk elektronik seperti semikonduktor dan komputer peribadi (PC).

Walaupun lebih rendah daripada pertumbuhan 21.7 peratus pada Oktober, prestasi November ini tetap mengatasi ramalan kenaikan 6.8 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.

“Eksport Singapura menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada yang dibimbangkan pada 2025,” kata pakar ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng.

Beliau berkata pelaksanaan tarif Amerika secara berperingkat sepanjang tahun menjadikan kesannya kurang menyeluruh dan membebankan berbanding jangkaan awal.

Bagi 11 bulan pertama 2025, Nodx naik 4.8 peratus, lapor Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Disember.

Pada November, agensi itu mengecilkan unjuran pertumbuhan penuh tahun Nodx kepada sekitar 2.5 peratus, dan meramalkan pertumbuhan eksport utama akan menjadi sederhana – iaitu antara 0 hingga 2 peratus pada 2026 – apabila kesan tarif mula terasa dan aktiviti front-loading berkurangan.

Front-loading ialah langkah membawa ke hadapan penghantaran atau dagangan, di mana syarikat mempercepat eksport atau import sebelum tarif atau sekatan baru dikuatkuasakan.

Encik Chua menjangkakan pergerakan eksport pada 2026 akan terbatas seiring dengan kitaran perdagangan global yang lebih lemah, selain risiko cukai tambahan ke atas semikonduktor.

Cik Sheana Yue, ahli ekonomi kanan Oxford Economics, pula berpendapat kelembapan dalam lonjakan elektronik dipacu AI mungkin diimbangi oleh daya tahan eksport semula.

Ini akan mengekalkan pertumbuhan jumlah eksport sekitar 2 peratus pada 2026.

Angka ini lebih rendah berbanding ramalan 6.9 peratus tahun ini, menurut laporan The Straits Times (ST).

Beliau menjelaskan kitaran teknologi AI dijangka perlahan disebabkan kekangan kuasa dan rangkaian global, serta perubahan pembiayaan syarikat ‘hyperscaler’.

‘Hyperscaler’ merujuk kepada syarikat teknologi berskala besar yang mengendalikan pusat data gergasi dan infrastruktur pengkomputeran awan untuk menyokong perkhidmatan digital pada tahap sedunia.

Namun begitu, integrasi China yang semakin mendalam dalam rantaian bekalan serantau dijangka mengekalkan perdagangan intra-Asia.

Menurut Cik Yue, lebih banyak penghantaran dari China berkemungkinan melalui Asia, khususnya Asean, sekali gus menyokong peranan Singapura sebagai hab eksport semula.

“Eksport semula dijangka kekal berdaya tahan,” tambah Cik Yue.

Pada November, eksport elektronik meningkat 13.1 peratus berbanding setahun lalu, selepas melonjak 33.1 peratus pada Oktober.

Penghantaran cip naik 22.9 peratus dan eksport komputer peribadi melonjak 48 peratus, manakala eksport papan litar bercetak kosong meningkat 26.8 peratus.

Eksport bukan elektronik pula meningkat 11.1 peratus pada November, didorong lonjakan besar dalam farmaseutikal (369.8 peratus) dan pam (361.2 peratus).

Eksport ke Amerika melonjak 106 peratus pada November, didorong farmaseutikal, struktur kapal dan komputer peribadi, meskipun berdepan ketidaktentuan tarif.

Encik Chua dari DBS berkata lonjakan eksport farmaseutikal sebahagiannya disebabkan kesan asas yang menggalakkan, manakala penangguhan tarif Amerika 100 peratus ke atas farmaseutikal berjenama atau berpaten berkemungkinan memberi kelegaan sementara kepada pengeksport.

Dalam kalangan 10 pasaran eksport utama Singapura, eksport ke Zon Euro dan Taiwan meningkat, manakala penghantaran ke Indonesia, Hong Kong, Jepun dan Thailand menurun.

Penganalisis Maybank, Dr Chua Hak Bin, yakin eksport Singapura akan kekal utuh pada 2026, dengan Nodx diramal berkembang sekitar 5 peratus, disokong lonjakan perbelanjaan modal AI, pelonggaran kewangan serta dasar fiskal sedunia yang mengembang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg