Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aktiviti kilang S’pura naik pada Nov dipacu sektor elektronik

Dec 3, 2025 | 4:05 PM
PMI, Singpura, naik
Sektor elektronik, yang menyumbang 40 peratus daripada pengeluaran perkilangan, mencatat PMI 50.6 mata pada November, naik 0.2 mata berbanding Oktober. - Foto fail

Pengeluaran perkilangan Singapura meningkat pada November, meletakkan ekonomi pada asas lebih kukuh bagi suku terakhir 2025, selepas susut pada Oktober lalu.

Indeks pengurus pembelian (PMI) – penanda aras prestasi keseluruhan sektor perkilangan – meningkat kepada 50.2 mata pada November selepas menurun 0.1 mata kepada 50 pada Oktober.

Sektor elektronik, yang menyumbang 40 peratus daripada pengeluaran perkilangan, mencatat PMI 50.6 mata pada November, naik 0.2 mata berbanding Oktober.

Ia sekali gus menandakan pertumbuhan enam bulan berturut-turut bagi sektor ini.

Bacaan PMI melebihi 50 menunjukkan pertumbuhan; bacaan di bawah 50 pula menandakan penyusutan dalam pengeluaran.

Industri perkilangan kekal menunjukkan prestasi positif menjelang penghujung 2025, kata pengarah eksekutif di Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM), Encik Stephen Poh.

Pertumbuhan industri itu disokong oleh permintaan sejagat yang berterusan terhadap cip kecerdasan buatan (AI) dan perkakasan pelayan, tambah Encik Poh.

Selain itu, keperluan prasarana pusat data dan peningkatan bermusim dalam pembelian elektronik pengguna turut mendorong peningkatan permintaan dalam sektor elektronik.

Industri perkilangan mencatat kadar pertumbuhan lebih pantas bagi indeks pesanan baru, import dan harga input, lapor The Straits Times (ST).

Namun, ia mencatat kadar pertumbuhan lebih perlahan bagi indeks barangan siap dijual, manakala indeks perniagaan masa depan kembali menunjukkan pertumbuhan selepas susut selama tujuh bulan berturut-turut.

Penganalisis berkata kenaikan PMI November menunjukkan suku keempat 2025 yang kukuh bagi pengeluaran perkilangan dan Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura.

Negara ini mencatat lonjakan pengeluaran kilang pada Oktober melebihi 29 peratus, jauh melebihi ramalan penganalisis.

Sektor elektronik mencatat kadar pertumbuhan lebih pantas bagi indeks import, harga input, baki pesanan, pekerjaan dan perniagaan masa depan.

Ahli ekonomi Maybank, Encik Brian Lee, berkata kenaikan PMI menunjukkan keyakinan firma terhadap prospek permintaan mereka, justeru itu mereka meningkatkan pembelian input. 

“Kami menjangkakan momentum pertumbuhan dalam sektor perkilangan dan eksport akan berterusan sehingga separuh pertama 2026, selari dengan lonjakan permintaan elektronik menyusuli pertumbuhan pesat dalam AI.”

Ahli ekonomi UOB, Encik Jester Koh, menambah bahawa permintaan berkaitan AI dijangka kekal kukuh buat tempoh sederhana ke depan, manakala pengisian semula inventori pada masa depan boleh memberi dorongan tambahan kepada sektor elektronik.

Walaupun industri perkilangan secara keseluruhan mencatat pertumbuhan, penyusutan dalam indeks baki pesanan – kali pertama sejak Mei 2023 – boleh menimbulkan kebimbangan, kata ahli ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng.

“Penyusutan baki pesanan perlu dipantau, kerana penurunan berterusan mungkin menandakan bilangan pesanan belum selesai berkurangan dan potensi penyusutan pengeluaran kilang, dengan kesan kelewatan tarif mula dirasai,” jelas Encik Chua.

Ketua ahli ekonomi dan ketua penyelidikan serta strategi pasaran global di OCBC, Cik Selena Ling, berkata penyusutan dalam indeks baki pesanan “mungkin perlu diperhatikan, memandangkan suku pertama 2026 lazimnya merupakan tempoh perlahan (dalam pengeluaran) kerana cuti Tahun Baru Cina”.

Cik Ling menambah bahawa walaupun indeks perniagaan masa depan kembali berkembang selepas tujuh bulan berturut-turut mencatat penyusutan, ia mungkin tidak membawa kepada peningkatan pengambilan pekerja dalam kalangan firma, kerana petunjuk pekerjaan kekal menyusut untuk bulan kelapan berturut-turut.

“Ini menunjukkan majikan masih berhati-hati dalam menambah bilangan pekerja,” jelas Cik Ling.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg