Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura meningkat dengan ketara pada Oktober, meneruskan pertumbuhan yang dicatatkan pada September.

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh eksport barangan bukan elektronik yang kukuh.

Eksport barangan elektronik juga terus meningkat berikutan permintaan yang tinggi terhadap teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Ahli ekonomi memberi amaran bahawa kawalan baharu Amerika Syarikat terhadap eksport cip – yang bertujuan menyekat akses China – boleh meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran berhubung penilaian dalam sektor AI serta kemampanan permintaan yang berkaitan dengan AI.

Di bawah sekatan baharu yang diumumkan pada 16 November, lesen akan diperlukan untuk mengeksport, mengeksport semula, atau memindahkan semikonduktor termaju ke Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Brazil. Negara-negara ini dikenal pasti oleh Amerika sebagai berisiko tinggi menjadi laluan pengalihan cip termaju ke China.

“Dalam langkah baharu ini, akses pengkomputeran ke beberapa negara, termasuk China, dari pusat data yang menggunakan item yang disenaraikan, turut berkemungkinan berdepan sekatan,” kata Encik Edward Lee dan Encik Jonathan Koh, ahli ekonomi di Standard Chartered. 

“Kesan sebenarnya masih belum dapat dipastikan,” kata mereka.

Ketua Ekonomi Penyelidikan Kumpulan OCBC, Cik Selena Ling, berkata: “Buat masa ini, kesannya sukar diukur, tetapi kos pematuhan yang lebih tinggi berkemungkinan berlaku, dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam tempoh peralihan ini.”

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan pengkomputeran AI secara fizikal di Singapura dijalankan oleh syarikat pengendali berskala besar Amerika dan penyewa lokasi bersama yang mungkin layak mendapat pengecualian, tetapi bahagian yang mungkin terjejas ialah syarikat neocloud bukan milik Amerika, perantara perdagangan dan pengedaran, dan kapasiti yang disewa kepada pelanggan yang berkaitan dengan China.

Neocloud ialah penyedia yang menawarkan prasarana dan perkhidmatan khusus untuk AI.

Pihak berkuasa Singapura pada 17 November berkata mereka “sedang mengkaji butiran langkah baharu ini dengan teliti”, dan turut melibatkan syarikat yang terjejas untuk menilai kesannya, selain berhubung dengan pihak berkuasa Amerika mengenai skop dan pelaksanaan langkah tersebut.

Nodx berkembang 79.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2025, susulan peningkatan 68.3 peratus pada September, didorong oleh sektor bukan elektronik, demikian menurut data daripada Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 November.

Angka terkini itu mengatasi unjuran 37.7 peratus oleh ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Penghantaran bukan elektronik melonjak 81.9 peratus berbanding 2025 pada Oktober, meneruskan peningkatan 54.1 peratus pada September.

Pertumbuhan Nodx bukan elektronik didorong oleh struktur kapal dan bot, produk farmaseutikal yang berkembang 253.1 peratus, serta jentera khusus yang meningkat 57.3 peratus. 

Eksport produk elektronik meningkat 73.9 peratus pada Oktober, meneruskan kenaikan 107.6 peratus pada September yang didorong oleh permintaan tinggi terhadap teknologi AI.

Pertumbuhan itu didorong oleh lonjakan 189.6 peratus bagi produk media cakera, manakala penghantaran komputer peribadi meningkat 81 peratus dan litar atau cip bersepadu meningkat 53.1 peratus.

Nodx ke Amerika, China dan Taiwan berkembang pada Oktober, manakala Nodx ke India, Indonesia dan Thailand merosot.

Nodx ke Taiwan berkembang 79.3 peratus, menyambung peningkatan 96.9 peratus pada September, didorong oleh lonjakan 149 peratus dalam Nodx elektronik.

Eksport Nodx Singapura ke India merosot 35.8 peratus pada Oktober, berbanding penurunan 5.7 peratus pada September. Kejatuhan itu disebabkan terutamanya oleh penurunan 51.9 peratus dalam eksport barangan bukan elektronik. 

Eksport utama ke Amerika, pasaran eksport terbesar tunggal Singapura, berkembang 214.6 peratus, manakala eksport ke China meningkat 144.9 peratus.