Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura naik 15.7% pada Julai

Aug 16, 2024 | 3:35 PM
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 15.7 peratus pada Julai 2024.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 15.7 peratus pada Julai 2024. - Foto ZAOBAO

Eksport utama Singapura mencatat peningkatan besar yang tidak dijangka pada Julai, dengan kiriman bagi kededua segmen elektronik dan bukan elektronik berkembang dengan kukuh.

Ia sekali gus mengakhiri penurunan eksport selama lima bulan berturut-turut.

Namun, penganalisis berpandangan bahawa pemulihan eksport Singapura masih terus terdedah kepada risiko seperti konflik geopolitik yang berterusan, prospek ekonomi China yang tidak menentu dan kelembapan pertumbuhan ekonomi yang mungkin dialami Amerika Syarikat.

Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 15.7 peratus pada Julai 2024 berbanding Julai 2023, lapor The Straits Times (ST).

Ia juga satu peningkatan daripada penguncupan 8.8 peratus yang disemak semula pada Jun, dan jauh lebih baik daripada ramalan pertumbuhan 1.2 peratus oleh pakar ekonomi yang ditinjau Bloomberg.

Setelah diselaraskan secara musiman berdasarkan bulanan, Nodx berkembang 12.2 peratus kepada $15.4 bilion pada Julai 2024, selepas susut 0.4 peratus pada Jun.

Jumlah perdagangan meningkat 13.7 peratus pada Julai, menyusuli kenaikan 1.2 peratus yang dicatat pada Jun.

Enterprise Singapore meramalkan pertumbuhan dalam eksport utama Singapura sebanyak 4-5 peratus bagi keseluruhan 2024.

Semakan tersebut dibuat setelah Nodx susut 6.4 peratus pada suku kedua 2024, disebabkan permintaan farmaseutikal yang tidak menentu.

Kiriman bagi kededua segmen elektronik dan bukan elektronik mencatat pertumbuhan dua angka.

Nodx elektronik berkembang 16.5 peratus pada Julai, disokong oleh peningkatan dalam kiriman litar bersepadu atau semikonduktor, komponen terbesar Nodx elektronik.

Kiriman elektronik lain termasuk produk media cakera dan peranti komputer lain.

Kiriman bukan elektronik meningkat 15.5 peratus pada Julai, selepas menyusut 8.6 peratus pada Jun.

Emas yang tidak mudah ditukar jadi tunai, petrokimia dan jentera khusus adalah penyumbang terbesar kepada pertumbuhan itu.

Amerika, Malaysia dan China adalah penyumbang terbesar kepada kiriman eksport yang meningkat, manakala kiriman ke Kesatuan Eropah, Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan berkurangan.

Pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng, berkata eksport Singapura dijangka pulih secara beransur-ansur menyusuli permintaan luar yang lebih baik.

“Pemulihan dalam kiriman elektronik Singapura semakin meluas, dan kami menjangka pemulihan elektronik yang berterusan akan menaikkan Nodx secara keseluruhan,” kata Encik Chua.

Beliau menjangka permintaan teknologi sedunia akan disokong oleh penggantian telefon bijak dan komputer peribadi (PC), serta penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.

Namun, prestasi eksport Singapura masih menghadapi risiko disebabkan konflik geopolitik berterusan yang boleh mengganggu rantaian bekalan, selain keadaan pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu di China dan Amerika, jelas Encik Chua.

Pakar ekonomi Maybank, Encik Brian Lee, pula menjangka eksport bakal pulih dan berkembang lagi pada separuh kedua 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg