Eksport domestik bukan minyak (Nodx) Singapura menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan pada Mei, merosot 0.1 peratus selepas menyusut 9.6 peratus pada April.
Ini menandakan penguncupan bulan keempat berturut-turut, tetapi ia masih penurunan paling kecil dalam 20 bulan, kata agensi perdagangan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 18 Jun.
Ia juga mengatasi ramalan penurunan 1 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Reuters.
Eksport elektronik mencatatkan pertumbuhan dua angka pertama dalam 22 bulan.
Ia berkembang 21.9 peratus tahun ke tahun pada Mei, melanjutkan kenaikan 3.3 peratus pada April.
Pertumbuhan dalam Nodx elektronik dipacu oleh litar bersepadu (IC), juga dirujuk sebagai cip atau semikonduktor.
Tahun ke tahun, IC berkembang sebanyak 35.8 peratus kepada $1.9 bilion.
IC – yang membentuk kira-kira separuh daripada eksport elektronik – adalah komponen penting dalam pelbagai peranti elektronik.
Penghantaran produk media cakera dan komputer peribadi (PC) juga menyumbang kepada pertumbuhan dalam Nodx elektronik.
Eksport produk media cakera melonjak 92 peratus daripada setahun lalu kepada $571.5 juta, manakala PC meningkat 27.2 peratus kepada $286.9 juta.
Kadar penurunan berkurangan bagi bukan elektronik, yang menyusut 6 peratus pada Mei daripada tahun sebelumnya.
Ini berikutan penguncupan 12.6 peratus pada April.
Penurunan dalam Nodx bukan elektronik didorong oleh emas bukan kewangan, yang menguncup sebanyak 47.2 peratus daripada asas tinggi setahun lalu.
Penghantaran farmaseutikal jatuh sebanyak 37.5 peratus manakala peralatan litar elektrik menurun sebanyak 21.8 peratus.
Pada asas pelarasan musim bulan ke bulan, yang menghapuskan kesan variasi bermusim dalam angka, Nodx merosot 0.1 peratus pada Mei, selepas peningkatan 7.3 peratus disemak pada April.
Dari segi nilai, Nodx pada Mei mencecah $13.9 bilion, serupa dengan $13.9 bilion pada bulan sebelumnya tetapi lebih rendah daripada paras tahun lalu sebanyak $14 bilion dan purata 2023 sebanyak $14.5 bilion.
Mengikut pasaran, penghantaran ke 10 pasaran teratas Singapura secara keseluruhannya meningkat pada Mei.
Terutama penghantaran ke Amerika Syarikat pulih daripada kejatuhan April untuk berkembang 12.1 peratus.
Bagaimanapun, penghantaran ke China merosot, jatuh 22.1 peratus.
Eksport Singapura ke Kesatuan Eropah (EU) juga kekal lemah, jatuh lagi 8.7 peratus pada Mei manakala penghantaran ke Jepun menguncup 12.7 peratus selepas mencatatkan keuntungan pada April.
Tahun ke tahun, jumlah perdagangan berkembang 14.2 peratus pada Mei kepada $108.3 bilion, berikutan pertumbuhan 15.6 peratus pada April.
EnterpriseSG berkata Singapura kini menjangkakan pertumbuhan dalam eksport utama, akan mencatatkan pertumbuhan 4 hingga 6 peratus pada 2024.
Ini menyusuli permulaan tahun yang mengecewakan apabila Nodx jatuh 3.4 peratus kepada sekitar $42 bilion pada suku pertama 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg