Eksport Singapura jatuh 15.5 peratus tahun ke tahun pada Jun berikutan kemerosotan dalam penghantaran elektronik dan bukan elektronik, memanjangkan lagi kemerosotan bulan sebelumnya, menurut data Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada Isnin, 17 Julai.
Ini menandakan penguncupan bulan kesembilan berturut-turut bagi eksport domestik bukan minyak (Nodx). Pada Mei, Nodx jatuh 14.8 peratus tahun ke tahun.
Pakar ekonomi Bank DBS, Encik Chua Han Teng, berkata kemerosotan berterusan itu mencerminkan cabaran persekitaran luaran sejagat yang mencabar yang dihadapi sektor-sektor khusus perdagangan seperti pengilangan.
Ia kurang sedikit daripada ramalan kejatuhan 15.6 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.
Selepas pelarasan untuk inflasi, Nodx turun sebanyak 9 peratus, berikutan kejatuhan 7.8 peratus pada Mei, kata EnterpriseSG.
Nodx telah merosot 14.8 peratus untuk enam bulan pertama 2023, kata ketua ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling.
“Ia adalah prestasi separuh pertama yang paling lemah sejak separuh pertama 2009, apabila Nodx merosot 20.3 peratus tahun ke tahun,” katanya.
“Walaupun kami fikir penguncupan beberapa bulan lagi kelihatan mungkin berlaku memandangkan masalah luaran sejagat, terdapat tanda-tanda sementara waktu bahawa Nodx mungkin stabil dalam tempoh tahap pelarasan bermusim, dengan peningkatan 5.4 peratus bulan ke bulan Jun,” kata pakar ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng.
Eksport elektronik turun 15.9 peratus pada Jun, susut daripada kemerosotan 27.2 peratus pada bulan sebelumnya. Komputer peribadi dan bahagiannya menyumbang paling banyak kepada penguncupan itu – penghantaran kedua-dua produk tersebut merosot lebih daripada 44 peratus.
Penghantaran bukan elektronik turun sebanyak 15.4 peratus pada Jun, kemerosotan yang lebih ketara daripada 10.7 peratus pada Mei.
Petrokimia (kurang 34 peratus) dan bahan kimia primer (kurang 61.8 peratus) merosot daripada asas tinggi setahun lalu pada Jun 2022.
Penghantaran farmaseutikal pula susut 29.5 peratus pada Jun selepas jatuh 14 peratus pada Mei. Penghantaran elektronik mencatatkan penurunan lebih kecil pada Jun, jatuh sebanyak 15.9 peratus tahun ke tahun, selepas merosot 27.2 peratus pada Mei.
Litar bersepadu (IC), komputer peribadi dan bahagian komputer peribadi menyumbang kemerosotan eksport elektronik paling banyak, dengan segmen terakhir menyaksikan kejatuhan paling ketara sebanyak 44.8 peratus.
Ketua Penyelidikan Asia ANZ, Encik Khoon Goh, berkata walaupun terdapat tanda-tanda bahawa kitaran semikonduktor sejagat mungkin telah merosot dan mula meningkat, peningkatan itu masih belum dapat dilihat dalam eksport IC Singapura yang jatuh lagi 31.8 peratus tahun ke tahun pada Jun.
Encik Chua daripada DBS berkata bahawa “masih terdapat halangan daripada penyahstokan inventori selanjutnya dan ketegangan geopolitik yang berlarutan”, lantas beliau lebih suka melihat beberapa bulan lagi untuk memastikan pemulihan beransur-ansur pada separuh kedua 2023.
“
“Ia adalah prestasi separuh pertama yang paling lemah sejak separuh pertama 2009, apabila Nodx merosot 20.3 peratus tahun ke tahun.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg