Eksport utama Singapura kekal kukuh walaupun mengalami kemerosotan pada Januari semasa tempoh Tahun Baru Cina (CNY), selepas mengalami pertumbuhan dua bulan berturut-turut pada November dan Disember 2024.
Kilang dan operasi biasanya di serata Asia biasanya merosot semasa perayaan Tahun Baru Cina, lapor The Straits Times (ST).
Berbanding 2024, Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) pada Januari susut sebanyak 2.1 peratus, selepas mencatat pertumbuhan 9 peratus pada Disember dan 3.4 peratus pada November, menurut kenyataan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) yang dikeluarkan pada 17 Februari.
Bloomberg meramalkan pertumbuhan median 0.3 peratus bagi Nodx Singapura pada Januari.
Berdasarkan perbandingan bulanan yang diselaraskan secara musiman, Nodx turun 3.3 peratus pada Januari, meski tumbuh 1.3 peratus pada Disember.
Walaupun kesan Tahun Baru Cina diambil kira, prestasi Nodx tetap menunjukkan kelemahan.
Menurut pakar ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng, kemerosotan Nodx pada Januari mungkin bersifat sementara.
“Kami menjangkakan pemulihan dan kesinambungan prestasi positif Nodx yang dilihat pada bulan-bulan terakhir 2024, akan berterusan pada awal 2025,” kata Encik Chua.
Meski pentadbiran baru Amerika Syarikat menimbulkan ketidakpastian perdagangan, ramai pakar ekonomi menjangkakan Singapura tidak akan terlalu terjejas, sekurang-kurangnya pada suku pertama 2025.
Namun, pada jangka masa panjang, perang perdagangan sejagat lebih luas masih mendatangkan cabaran dan risiko kepada ekonomi Asia yang sangat bergantung kepada perdagangan, termasuk Singapura.
Pada 14 Februari, EnterpriseSG melaporkan Nodx meningkat sebanyak 0.2 peratus pada 2024, satu pemulihan daripada penurunan 13.1 peratus pada 2023, walaupun ia tidak mencapai ramalan rasmi pertumbuhan “sekitar 1 peratus”.
Ramalan pertumbuhan Nodx bagi 2025 adalah antara 1 dengan 3 peratus, dengan pertimbangan risiko ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan ketidakpastian mengenai dasar perdagangan Amerika di bawah Presiden Donald Trump.
Menurut Encik Chua, prestasi lebih lemah yang dicatat pada Januari, didorong penurunan dalam eksport barangan elektronik dan bukan elektronik.
Nodx elektronik utama Januari 2025 naik 9.6 peratus, berbanding Januari 2024, selepas pertumbuhan 18.6 peratus pada Disember 2024, dipacu peningkatan dalam litar bersepadu, komputer peribadi dan produk media cakera.
Nodx bukan elektronik pula turun 4.8 peratus, berbanding Januari 2024, selepas pertumbuhan 6.6 peratus pada Disember 2024, didorong permintaan farmaseutikal tidak menentu, penurunan dalam kiriman mesin khas dan barangan yang dikilangkan.
Eksport ke Hong Kong, Amerika, dan Taiwan mencatat pertumbuhan kukuh, manakala eksport ke China, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Thailand dan Malaysia merosot.
Maybank meramalkan pertumbuhan Nodx sebanyak 3 peratus untuk 2025, satu penurunan daripada 5.7 peratus yang dicatat pada separuh kedua 2024, mengambil kira kesan tarif Amerika kepada ekonomi.
Berbanding 2024, perdagangan keseluruhan meningkat 6.7 peratus pada Januari, selepas pertumbuhan 19 peratus pada Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg