Eksport utama Singapura mengatasi jangkaan penganalisis pada Disember 2024, didorong oleh pertumbuhan penghantaran produk elektronik dan bukan elektronik.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) meningkat 9 peratus berbanding 2023, dan terus naik 3.4 peratus pada November 2024, menurut data daripada agensi perdagangan Enterprise Singapore pada 17 Januari.
Menurut data yang dikeluarkan Bloomberg, penganalisis menjangka sektor ini akan mencatatkan pertumbuhan 7.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Nodx turut mencatatkan pertumbuhan berurutan dari November ke Disember, namun dengan kadar yang lebih kecil.
Menurut data diselaraskan secara bermusim, penghantaran meningkat sebanyak 1.7 peratus pada Disember, selepas lonjakan 14.7 peratus pada November, lapor The Straits Times (ST).
Pada November, Singapura menurunkan ramalan pertumbuhan eksport utama bagi keseluruhan 2024 kepada sekitar 1 peratus berbanding anggaran 4 hingga 5 peratus pada Ogos, akibat pemulihan sektor yang lebih teruk daripada jangkaan pada separuh kedua 2024.
Pertumbuhan Disember terutamanya didorong oleh perkembangan dalam eksport bukan elektronik – seperti emas bukan kewangan, penyediaan makanan dan mesin khusus – walaupun eksport elektronik turut mencatatkan peningkatan.
Dari segi tahun ke tahun, eksport produk elektronik berkembang 18.6 peratus pada Disember, menyusuli kenaikan 23.1 peratus pada November.
Dalam segmen ini, eksport litar bersepadu – juga dikenali sebagai cip atau semikonduktor – meningkat 23.4 peratus.
Eksport komputer peribadi pula berkembang 83.6 peratus, manakala produk media cakera meningkat 44 peratus.
Eksport bukan elektronik pula meningkat 6.6 peratus pada Disember, satu lonjakan berbanding penurunan 1.6 peratus pada November.
Eksport emas bukan kewangan berkembang 67.6 peratus, manakala penyediaan makanan meningkat 61.5 peratus, dan mesin khusus naik 19.9 peratus.
Eksport ke Amerika Syarikat, Taiwan dan Malaysia meningkat pada Disember, namun penghantaran ke Zon Euro dan China merosot.
Eksport Singapura ke Amerika Syarikat meningkat 30.7 peratus pada Disember, selepas mencatatkan penurunan 19.4 peratus pada November.
Pertumbuhan ini terutamanya dipacu oleh peningkatan dalam eksport emas bukan kewangan, penyediaan makanan, serta enjin dan motor bukan elektronik.
Eksport ke Taiwan juga meningkat 50.8 peratus, didorong oleh eksport mesin khusus, alat pengukur, dan komputer peribadi.
Eksport ke Malaysia berkembang 24.2 peratus pada Disember, disokong oleh eksport cip, aksesori komputer lain, dan emas bukan kewangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg