Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport utama S’pura turun mengejut 3.5% Mei

Antaranya ekoran kejatuhan dua angka dalam pengiriman ke Amerika Syarikat
Jun 17, 2025 | 3:35 PM
eksport, Singapura, merosot, Amerika
Para penganalisis yang ditinjau sebelum ini meramalkan eksport utama Singapura pada Mei dijangka meningkat sebanyak 8 peratus. - Foto ST

Eksport utama Singapura mengalami kemerosotan mengejut pada Mei, yang sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan dua angka dalam pengiriman barangan ke Amerika Syarikat.

Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura susut 3.5 peratus pada Mei 2025 berbanding Mei 2024.

Ini berbanding kenaikan 12.4 peratus pada April, menurut data Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 17 Jun.

Walaupun eksport elektronik meningkat, kiriman bukan elektronik merosot, lapor The Straits Times (ST).

Para penganalisis yang ditinjau sebelum ini meramalkan eksport utama Singapura pada Mei meningkat sebanyak 8 peratus.

Ini berdasarkan jangkaan bahawa pelanggan akan terus mengambil peluang daripada tempoh penangguhan tarif 90 hari pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan membuat pesanan awal.

EnterpriseSG pada Mei menjangkakan bahawa pertumbuhan eksport utama bagi 2025 akan berada pada tahap terendah dalam julat ramalan 1 hingga 3 peratus, disebabkan ketidaktentuan dalam dasar perdagangan dan tarif yang terus menjejas prospek ekonomi global.

Amerika mengumumkan pada 9 April, penangguhan tarif timbal balas selama 90 hari, kecuali tarif terhadap China.

Ia kemudian mengecualikan barangan elektronik daripada tarif timbal balik tersebut pada 12 April.

Amerika dan China kemudiannya mengumumkan pada 12 Mei satu perjanjian untuk mengurangkan tarif selama 90 hari.

Hasilnya, tarif China ke atas barangan Amerika dikurangkan kepada 10 peratus daripada 125 peratus, manakala kadar tarif Amerika terhadap barangan China dikurangkan kepada 30 peratus daripada 145 peratus.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata pada Mei bahawa Amerika tidak akan berganjak daripada mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas eksport Singapura.

Namun, katanya, pemerintah masih berunding untuk mendapatkan pengecualian tarif bagi produk farmaseutikal yang turut menjadi sasaran tarif Encik Trump.

Kiriman produk farmaseutikal membentuk lebih 10 peratus daripada jumlah eksport Singapura ke Amerika.

Walaupun Nodx merosot pada Mei, eksport utama Singapura masih berkembang 3.7 peratus sepanjang lima bulan pertama 2025, meneruskan peningkatan 2.4 peratus yang dicatat pada suku akhir 2024.

Pada Mei, pertumbuhan dirangsang oleh eksport elektronik yang meningkat 1.7 peratus, walaupun lebih perlahan berbanding pertumbuhan 23.4 peratus pada April.

Eksport komputer peribadi melonjak sebanyak 50.9 peratus, manakala kiriman litar bersepadu, atau cip, naik 4.3 peratus.

Eksport barangan elektronik pengguna pula meningkat 49 peratus.

Sementara itu, eksport bukan elektronik susut 5.3 peratus pada Mei, selepas meningkat 9.3 peratus pada April.

Kiriman petrokimia merosot sebanyak 17.8 peratus, manakala emas bukan kewangan atau ‘non-monetary gold’ menjunam sebanyak 25.9 peratus.

Eksport ke Amerika merosot sebanyak 20.6 peratus pada Mei.

Eksport ke Malaysia susut 7.6 peratus, disebabkan kemerosotan dalam kiriman emas bukan kewangan, peralatan komputer lain dan bahan kimia utama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg