Eksport utama Singapura meningkat pada kadar lebih pantas daripada jangkaan pada April, dirangsang oleh kiriman yang lebih kukuh bagi kededua barangan elektronik dan bukan elektronik.
Peningkatan eksport itu didorong oleh para pelanggan yang mengambil peluang daripada tempoh penangguhan tarif 90 hari oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump – dengan membuat pesanan awal.
Beberapa pakar ekonomi berkata Singapura dijangka terus meraih faedah daripada penangguhan tarif tersebut untuk beberapa bulan akan datang.
Namun prospek eksport kekal tidak menentu apabila tempoh 90 hari tersebut berakhir, lapor The Straits Times (ST).
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) Singapura melonjak 12.4 peratus pada April 2025 berbanding April 2024.
Ia juga lebih tinggi berbanding kenaikan 5.4 peratus pada Mac.
Kadar peningkatan eksport pada April jauh melebihi ramalan pertumbuhan 4.3 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.
Eksport elektronik berkembang 23.5 peratus pada April 2025 berbanding April 2024, dan naik hampir seganda berbanding pertumbuhan 12.2 peratus pada Mac.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh permintaan kukuh bagi komputer peribadi, produk media cakera dan litar bersepadu.
Eksport bukan elektronik naik 9.3 peratus pada April – lebih tinggi daripada kenaikan yang disemak menjadi 3.7 peratus pada Mac.
Beberapa pakar ekonomi berkata para pelanggan mengambil kesempatan daripada penangguhan 90 hari tarif timbal balas yang dikenakan Encik Trump terhadap pelbagai negara kecuali China.
Amerika dan China kemudian mengumumkan pada 12 Mei satu perjanjian untuk mengurangkan tarif bagi mengelakkan perang perdagangan lebih besar.
Penangguhan tersebut, yang juga selama 90 hari, menyebabkan tarif ke atas eksport Amerika ke China dikurangkan kepada 10 peratus daripada 125 peratus sebelum ini, manakala tarif ke atas eksport China ke Amerika dikurangkan kepada 30 peratus daripada 145 peratus sebelum ini.
Ketua pakar ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata jumlah keseluruhan Nodx adalah yang tertinggi sejak Julai 2023, manakala Nodx bagi barangan elektronik pula adalah yang paling kukuh sejak November 2023.
Pakar ekonomi kanan DBS Bank, Encik Chua Han Teng, pula berkata pengeksport dijangka memanfaatkan tarif lebih rendah pada waktu ini, dengan membuat pesanan awal bagi barangan eksport, yang dijangka meningkatkan prestasi eksport jangka pendek Singapura.
Namun, beliau menegaskan walaupun ketegangan perdagangan antara Amerika dengan China kini semakin reda dan merupakan satu perkembangan positif, pertikaian dalam perdagangan sejagat kini lebih ketara berbanding sebelum ini.
Pertikaian tersebut dijangka menjejas prestasi eksport Singapura pada 2025, walaupun ia mungkin tidak seburuk seperti yang dijangka sebelum ini, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg