Emery impikan Villa julang Liga Europa
LONDON: Pengurus Aston Villa, Unai Emery, mungkin tidak percaya pasukannya merupakan pesaing gelaran Liga Perdana England (EPL) tetapi beliau ‘impikan’ meraih kegemilangan dalam Liga Europa selepas pasukan pimpinannya mara ke peringkat 16 pasukan terakhir.
Villa menewaskan Fenerbahce 1-0 di Turkey untuk memastikan menduduki lapan tempat teratas liga dengan baki satu perlawanan.
Pada 18 Januari, pengurus asal Sepanyol itu menyatakan bahawa Villa “bukan lima pesaing teratas” EPL selepas mereka tewas 0-1 di padang sendiri kepada Everton.
Sekiranya Villa menamatkan saingan di luar empat tangga teratas EPL – atau lima teratas jika England dianugerahkan tempat kelayakan tambahan – satu-satunya harapan mereka dalam Liga Juara-Juara musim depan adalah dengan memenangi Liga Europa.
Pernah menjadi pengurus Seville, Arsenal dan Paris St-Germain, Emery telah memenangi Liga Europa sebanyak empat kali sebagai pengurus, kali terakhir melakukannya bersama Villarreal pada 2021.
Beliau bakal menguruskan perlawanan ke-100nya dalam pertandingan itu kelak.
“Kami mempunyai matlamat jelas dalam pertandingan ini untuk menjadi pesaing bagi trofi”, katanya selepas kemenangan pasukannya di Istanbul.
“Kami mahu menjadi pesaing sekiranya kami memerlukan trofi ini untuk bermain dalam Liga Juara-Juara. Kami jangka laluan sangat sukar.
“Saya impikan untuk berada di sini... menjulang trofi dan Europa adalah salah satu matlamat yang kami tetapkan musim ini.”
Terdapat satu pusingan perlawanan lagi dalam fasa liga Liga Europa, dengan empat pasukan Britain berdepan nasib yang bercampur-campur.
Villa sudah mara ke peringkat 16 kumpulan terakhir, Nottingham Forest masih samar-samar, Celtic mungkin menyertai mereka tetapi juga boleh tersingkir, manakala Rangers telah tersingkir.
Villa mengesahkan tempat mereka dalam peringkat 16 terakhir hasil kemenangan 1-0 di tempat lawan menentang Fenerbahce pada 22 Januari.
Kemenangan ke atas Fenerbahce menyaksikan pasukan Emery meraih 18 mata daripada tujuh perlawanan dan ia bermakna beliau boleh merehatkan pemain untuk perlawanan di tempat sendiri menentang RB Salzburg pada 29 Januari.
“Liga Europa penting bagi kami dan kami telah berada dalam kelompok lapan teratas dan ini sudah tentu yang paling penting sekarang,” kata Emery.
Selain itu, kelab Perancis, Lyon, juga mengumpul 18 mata tetapi berada di kedudukan teratas liga kerana mereka mempunyai perbezaan empat gol lebih baik daripada Villa yang berada di tempat kedua. – Agensi berita.


