LONDON: Prospek Arsenal menjuarai Liga Perdana England (EPL) bertambah cerah tanpa perlu menyepak bola pada 7 Januari, apabila pencabar terdekat mereka, Manchester City dan Aston Villa masing-masing kehilangan mata.
Erling Haaland menjaringkan gol ke-150 untuk City apabila beliau meletakkan mereka di hadapan menentang Brighton dan Hove Albion melalui sepakan penalti, tetapi Kaoru Mitoma menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-60 dengan perlawanan yang berakhir 1-1.
Ia merupakan keputusan seri ketiga berturut-turut bagi City yang diikat oleh Sunderland pada hari Tahun Baru dan oleh Chelsea pada hujung minggu apabila mereka juga dibolosi gol penyamaan.
City di tempat kedua, kekal lima mata di belakang Arsenal yang boleh melanjutkan pendahuluan kepada lapan mata jika mereka menewaskan Liverpool pada 8 Januari.
Villa yang berada di tempat ketiga juga ketinggalan lima mata selepas mereka hanya mampu seri 0-0 dalam perlawanan yang sengit di Crystal Palace.
Pengurus baru Chelsea, Liam Rosenior, memerhatikan perlawanan di Craven Cottage ketika kelab barunya kecundang 1-2 di tangan Fulham selepas Marc Cucurella dibuang padang pada pertengahan separuh masa pertama.
Raul Jimenez memberikan Fulham pendahuluan dan walaupun Liam Delap menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat, Harry Wilson memastikan mata penuh untuk Fulham.
Kekalahan itu menyebabkan Chelsea berputih mata – jatuh ke tempat kelapan.
Dalam pada itu, dua hari selepas memecat pengurus Ruben Amorim, Manchester United hanya seri 2-2 di Burnley yang berada di tempat ke-19.
Benjamin Sesko menjaringkan dua gol untuk United, menggandakan jaringannya untuk musim ini, tetapi ini tidak mencukupi untuk memberikan kemenangan kepada pengurus sementara Darren Fletcher, apabila gol penyamaan Jaidon Anthony memberikan Burnley satu mata, menyebabkan United jatuh ke tempat ketujuh.
Manakala Brentford naik ke tempat kelima apabila penyerang Brazil, Igor Thiago, meneruskan hatriknya pada hujung minggu menentang Everton dengan dua gol, dalam kemenangan 3-0 di tempat sendiri ke atas Sunderland untuk menjadikan jumlah golnya dalam liga musim ini kepada 16.
“Dia seorang penyerang tengah yang mantap,” kata pengurus Brentford, Keith Andrews.
“Saya tidak akan menukarnya dengan sesiapa pun.”
Newcastle United ketinggalan tiga kali dalam perlawanan mendebarkan di tempat sendiri menentang Leeds United tetapi muncul dengan kemenangan 4-3 yang menakjubkan untuk mara ke enam tempat teratas hasil jaringan saat akhir Harvey Barnes, selepas Bruno Guimaraes menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah melalui sepakan penalti pada minit ke-91.
Kebangkitan kelab tercorot Wolverhampton Wanderers baru-baru ini berterusan dengan keputusan seri 1-1 di Everton. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg