Bilangan syarikat yang menjalani projek transformasi dengan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 2024 turun kepada 2,300 – lebih rendah berbanding 3,000 pada 2023 dan 2,800 pada 2019 sebelum Covid-19, kata Pengerusi EnterpriseSG, Encik Lee Chuan Teck.
Bercakap pada taklimat media tahunan EnterpriseSG pada 23 Januari, Encik Lee berkata cabaran seperti ketidaktentuan geopolitik, kos perniagaan yang lebih tinggi dan gangguan teknologi mungkin telah “melemahkan selera syarikat untuk berubah dan berkembang” pada 2024.
Oleh itu, lebih banyak syarikat “difahamkan memberi tumpuan kepada isu segera mereka, dan bukannya mencari peluang untuk berkembang dan berubah untuk masa depan,” tambahnya.
“Persekitaran global untuk perniagaan akan terus menjadi mencabar pada masa hadapan. Perusahaan perlu menyesuaikan diri dengan realiti baru ini.
“Dalam EnterpriseSG, tugas kami adalah untuk membantu syarikat mengharungi cabaran ini dan terus berubah serta berkembang. Dalam hal ini, kami tidak akan jemu membantu,” kata Encik Lee.
Pada 2024, EnterpriseSG menyokong sejumlah 11,500 perusahaan meningkatkan hasil mereka dan memperkukuh daya saing kos.
Encik Lee berkata syarikat yang menjalankan projek transformasi dengan EnterpriseSG pada 2024 boleh menjangkakan peningkatan dalam hasil tahunan sebanyak $8.6 juta secara purata, jauh lebih tinggi berbanding $5.7 juta pada 2023.
Secara keseluruhan, projek-projek transformasi ini dijangka dapat mewujudkan 12,300 pekerjaan mahir dan membawa hasil tahunan sebanyak $14.5 bilion, tambahnya.
EnterpriseSG juga bekerjasama dengan syarikat untuk mengautomasikan dan mengoptimumkan operasi, menghasilkan penjimatan kos, dengan setiap perusahaan dapat menjimatkan kira-kira $230,000 setahun secara purata apabila projek dilaksanakan sepenuhnya.
EnterpriseSG menyokong Tenderfresh Group, anak syarikat Kimly Group, mengautomasikan proses pencampuran dan pembungkusan perasanya.
Dengan meningkatkan kecekapan dan operasi di kedai kopinya, Tenderfresh Group diunjurkan dapat menjimatkan anggaran 16,000 atau 40 peratus jam kerja setiap tahun, kata Encik Lee.
Agensi itu juga bekerjasama dengan persatuan perdagangan dan dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk menyediakan bantuan khusus kepada perniagaan melalui program Rakan Kongsi untuk Pertumbuhan Perniagaan (PBG).
Menerusi Pusat SME (syarikat kecil dan sederhana) yang dikendalikan oleh DPPMS, Sekolah Happy Fish Swim dapat menyertai program PBG dan bekerjasama dengan vendor GenAI Sandbox, Voltade, untuk memasukkan bot sembang GenAInya ke tapak web syarikat.
Syarikat tersebut dapat mengendalikan pertanyaan dengan lebih cekap, mengurangkan beban kerja lebih daripada 10 jam kerja setiap minggu.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata beliau berbesar hati dapat bekerjasama dengan EnterpriseSG untuk menyokong perniagaan tempatan.
“Pelancaran Peta Transformasi Sektor (STM) Persatuan Perdagangan dan Dewan (TAC) adalah satu langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh keupayaan DPPMS menyampaikan sokongan dan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada ahli kami.
“Dengan menyelaraskan dengan STM, kami boleh memperkasa perniagaan Melayu/Islam dengan lebih baik melalui penyelesaian inovatif, inisiatif yang disasarkan, dan peluang berharga untuk pertumbuhan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata beliau.
Selain projek transformasi pada 2024, EnterpriseSG juga menyokong 9,200 perusahaan dalam pelbagai projek menaik taraf keupayaan asas dan inisiatif penerokaan pasaran.
Daripada jumlah ini, lebih 75 peratus telah menggunakan penyelesaian digital dalam bidang seperti perakaunan dan jualan, perkhidmatan pelanggan dan pengurusan inventori.
Mereka yang meneroka pasaran baru beralih kepada pameran perdagangan, pemasaran luar negara dan sumber rakan kongsi.
EnterpriseSG menyatakan bahawa lebih banyak syarikat melangkah ke luar negara buat kali pertama menumpukan usaha mencari rakan kongsi luar negara yang berpotensi, yang mempunyai pengalaman dan rangkaian untuk memudahkan mereka memasuki pasaran baru.
Melangkah ke hadapan, Encik Lee berkata EnterpriseSG akan terus menambah baik pengalaman untuk semua SME dalam interaksi mereka dengan pemerintah.
Ini termasuk penubuhan Pejabat Pro-Enterprise SME dalam EnterpriseSG, pada suku pertama 2025, untuk membantu SME memahami peraturan pemerintah dengan lebih baik dan mengurangkan beban pematuhan.
Ia juga akan melihat kepada penambahbaikan proses pemberian geran untuk syarikat, serta bekerjasama dengan persatuan perdagangan dan dewan untuk meningkatkan keupayaan Pusat SME.
Sebuah platform digital baru yang mengandungi program, peralatan dan sumber yang disesuaikan dengan SME juga akan dilancarkan secara berperingkat mulai separuh kedua 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg