Syarikat Singapura yang berhasrat bertapak di Amerika Syarikat bakal menerima lebih banyak sokongan dengan pembukaan pejabat baharu Enterprise Singapore (EnterpriseSG) di Boston.

Pusat luar negara baharu yang juga pejabat kelima EnterpriseSG di Amerika itu dirasmikan pada 9 September oleh Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Perasmian itu turut menandakan kerjasama peringkat negeri yang pertama buat EnterpriseSG di Amerika, menerusi penandatanganan perjanjian bersama Pejabat Perdagangan dan Pelaburan Massachusetts.

Perjanjian berkenaan akan membantu memperkukuh kerjasama antara perniagaan, pelabur serta institusi di Singapura dan Massachusetts dalam bidang seperti sains hayat, tenaga, perkilangan maju, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo, berkata:

“Amerika kekal sebagai pasaran penting bagi syarikat Singapura, selari dengan peningkatan minat daripada perniagaan Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Lebih 250 syarikat Singapura telah bertapak di 45 negeri, menjadikan Amerika salah satu daripada lima pasaran luar negara teratas bagi perniagaan tempatan.

Pusat baharu di Boston itu akan membantu perniagaan Singapura yang berminat dengan pasaran Amerika menerusi analisis pasaran, akses kepada peluang projek, serta rangkaian perhubungan dengan korporat, inovasi dan modal.

“Massachusetts merupakan rakan kongsi semula jadi di kawasan Pantai Timur (Amerika) bagi syarikat teknologi Singapura, didorong oleh masyarakat perniagaannya yang dinamik dengan kekuatan saling melengkapi dalam bidang inovasi dan teknologi mendalam (deep tech).

“Kehadiran kami di Boston akan memperkukuh hubungan antara masyarakat perniagaan dengan teknologi kita, mewujudkan kerjasama baharu, mempercepat inovasi serta membawa huraian baharu ke pasaran di Amerika dan melangkaui kawasan lain,” jelas Cik Khoo.

Lebih 150 syarikat Singapura telah mempunyai kehadiran di Pantai Timur, dan Encik Tong dalam ucapannya semasa majlis pelancaran itu berkata beliau berharap agar bilangan tersebut akan terus meningkat.

“Bagi syarikat Singapura, Pusat Luar Negara Boston akan menyediakan tapak baharu di Pantai Timur, melengkapi pejabat EnterpriseSG di New York,” katanya.

Ketika berucap di depan sekitar 90 wakil daripada pihak pemerintah, akademik, pelabur serta sektor perniagaan, Encik Tong berkata:

“Amerika telah sekian lama menjadi antara rakan ekonomi dan strategik paling rapat Singapura, dan bakal kekal sebagai teras utama dalam penglibatan ekonomi luar negara kita.”

Encik Tong menarik perhatian bahawa Singapura, dengan stok pelaburan sekitar AS$53 bilion ($67 bilion) pada 2025, merupakan pelabur ketiga terbesar dari Asia di Amerika, selepas Jepun dan Korea Selatan.

Perdagangan dua hala serta pelaburan Singapura di Amerika telah menyokong lebih 350,000 peluang pekerjaan buat warga Amerika.

Amerika turut menikmati lebihan perdagangan dengan Singapura selama lebih dua dekad, mencecah lebih AS$33 bilion pada 2025.