Hubungan ekonomi Singapura-Amerika Syarikat yang lama terjalin menunjukkan bahawa perdagangan dan pelaburan dapat menyokong pekerjaan di kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Berucap semasa Persidangan Ekonomi Serantau 2026 anjuran Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmChamSG) pada 8 September, beliau berkata perdagangan dua hala berkembang pesat sejak Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Amerika-Singapura berkuat kuasa pada 2004.

Kini, dagangan dua hala dan pelaburan Singapura di Amerika menyokong kira-kira 350,000 pekerjaan di negara itu, sementara Amerika mencatat lebihan dagangan dengan Singapura selama lebih dua dekad.

Pada 2025, lebihan dagangan itu melebihi AS$33 bilion ($42 bilion).

Dengan kira-kira 6,600 syarikat Amerika di Singapura, negara itu adalah pelabur terbesar di negara ini, manakala Singapura, walaupun sebuah negara kecil, ialah pelabur Asia ketiga terbesar di Amerika selepas Jepun dan Korea Selatan.

Lebih 250 syarikat Singapura beroperasi di 45 negeri Amerika dalam sektor termasuk logistik, perniagaan tani, aeroangkasa dan pembinaan kapal.

Encik Gan berkata perkongsian itu membuktikan perdagangan dan pelaburan dapat memperkukuh keupayaan serta menyokong pekerjaan dalam kedua-dua ekonomi.

Ketika Amerika membina semula keupayaan perindustrian, memperkukuh industri strategik serta menjamin teknologi penting dan rantaian bekalan, pengukuhan keupayaan dalam negara dan hubungan dengan rakan kongsi boleh berjalan seiring.

“Syarikat Amerika dapat mengekalkan pertumbuhan dan pelaburan dalam negara dengan menembusi pasaran luar, memanfaatkan rangkaian serantau dan menggunakan teknologi secara meluas,” katanya.

Justeru, pembaharuan ekonomi Amerika dan penglibatan lebih mendalam di Asia Tenggara dapat memperkukuh satu sama lain.

Bagaimanapun, Encik Gan berkata tarif Amerika yang berkuat kuasa serta kemungkinan bertambahnya tarif, mempengaruhi keputusan perniagaan dan menjadikan keadaan di rantau ini dan dunia semakin tidak menentu.

Pada Julai lalu, Singapura dikenakan tarif 12.5 peratus susulan siasatan Wakil Perdagangan Amerika (USTR) terhadap 60 rakan dagang yang didakwa gagal menguatkuasakan larangan import barangan hasil buruh paksa.

Secara berasingan, tarif Amerika antara 25 hingga 50 peratus terhadap keluli, aluminium, tembaga dan alat ganti automotif turut dikenakan pada beberapa eksport Singapura.

Singapura juga tersenarai antara negara yang mungkin dikenakan tarif Amerika bagi membendung pengeluaran berlebihan pada masa depan.

“Kita tidak dapat mengelakkan semua keadaan tidak menentu. Namun, dengan mengekalkan saluran perhubungan dan bekerjasama, kita dapat meyakinkan perniagaan untuk menghadapinya dan melabur bagi jangka panjang,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan).

Duta Amerika ke Singapura, Encik Anjani Sinha, yang hadir di acara AmChamSG, memuji pelaburan Singapura di Amerika dan berharap ia terus meningkat.

Dalam sesi perbincangan, Encik Gan berkata perniagaan Singapura perlu menyesuaikan diri dengan tarif Amerika dan kenaikan kos kerana tarif itu dijangka kekal buat masa ini.

Walaupun tidak menghalang perdagangan dan pelaburan Singapura di Amerika, kesan tarif membuka peluang peningkatan perdagangan dalam Asean, Timur Tengah dan Eropah.

Encik Gan berkata syarikat Amerika juga boleh meraih manfaat daripada Asean yang semakin beralih kepada kegiatan bernilai tinggi seperti perkilangan termaju, prasarana digital, tenaga, penjagaan kesihatan, kewangan dan logistik.

“Peluangnya ialah memadankan kekuatan Amerika dengan keperluan rantau ini untuk menjana permintaan, membina keupayaan dan menyokong pekerjaan di kedua-dua belah Pasifik,” kata Encik Gan.

Singapura boleh membantu menjadikan kerjasama itu lebih berkesan melalui persekitaran perniagaan yang dipercayai, tenaga kerja berkemahiran serta rangkaian kewangan, logistik dan digital yang memberi kelebihan daya saing kepada firma yang beroperasi merentas rantau ini.

Masa sekarang juga sesuai untuk memperluas penglibatan Amerika dengan Asean.

Pada 2027, sempena 50 tahun perkongsian dialog Asean-Amerika, Singapura akan memegang jawatan pengerusi Asean dan menyelaras hubungan Asean dengan Amerika.

Menurut Encik Gan, Singapura mahu meneroka untuk menghubungkan wadah dalam talian Asean ‘Single Window’ dengan Amerika agar dokumen perdagangan elektronik dapat ditukar dengan lebih lancar dan selamat.

Asean juga menyasarkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital pada November 2026 bagi menyokong perdagangan digital, aliran data yang dipercayai dan kerjasama dalam teknologi baharu.

“Usaha ini dapat menjimatkan masa dan kos menjalankan perniagaan serta memudahkan firma beroperasi di seluruh Asia Tenggara,” kata Encik Gan.

“Kita tidak dapat mengelakkan semua keadaan tidak menentu. Namun, dengan mengekalkan saluran perhubungan dan bekerjasama, kita dapat meyakinkan perniagaan untuk menghadapinya dan melabur bagi jangka panjang.” 
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.