Sebagai sebahagian daripada usaha memberi kesan positif kepada masyarakat, Etiqa Insurance Singapore, akan mendermakan sebahagian daripada premium tetap tahun pertama daripada produk takaful baru untuk menyokong program bagi golongan kurang bernasib baik.
Mengumumkan demikian pada 30 September, cabang insurans Kumpulan Maybank itu berkata 0.1 peratus daripada hasil daripada premium tetap tahun pertama produk, ‘Takaful Keluarga’, baru yang dilancarkan selepas 1 Ogos, akan didermakan kepada Dana Masyarakat sebagai ikrar amal.
Jumlah yang didermakan untuk setiap polisi boleh membiayai wang saku seminggu untuk murid sekolah rendah, tanpa kos tambahan kepada pemegang polisi dan tidak menjejas manfaat pelan mereka.
“Ikrar amal Etiqa, yang dilancarkan bersama portfolio ‘Takaful Keluarga’ baru, direka untuk rakyat Singapura yang mahu pelaburan mereka menjadi satu kuasa kebaikan, apabila setiap pelaburan menjadi satu tindakan berkesan untuk masyarakat yang lebih luas.
“Dengan menggabungkan prinsip-prinsip insurans berasaskan nilai dengan amalan memberi, kami menawarkan laluan untuk menjana kekayaan berteraskan tujuan, yang selaras dengan aspirasi generasi baru pelabur yang prihatin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Etiqa Insurance Singapore, Encik Raymond Ong.
Takaful ialah sistem perlindungan berasaskan syariah yang menekankan konsep saling membantu.
Walaupun takaful mesti beroperasi mengikut prinsip koperasi Islam, ia tidak terhad kepada masyarakat Islam kerana sesiapa yang menjunjung prinsip etika dan sosial peribadi boleh membeli pelan takaful untuk keperluan dan matlamat perlindungan.
Di bawah Invest purpose – produk takaful baru Etiqa – pelanggan dapat meraih manfaat seperti perlindungan takaful bagi kematian dan penyakit terminal dengan pilihan rider (insurans tambahan).
Selain itu, mereka juga mempunyai fleksibiliti yang disesuaikan dengan perjalanan kewangan seperti memilih tempoh premium selama 10, 15 atau 20 tahun, penamaan benefisiari bagi manfaat hidup atau kematian, atau membentuk wakaf.
Dalam pada itu, Invest purpose, menandakan penambahan terkini kepada pengembangan strategik portfolio insurans berasaskan nilai Etiqa, berikutan Invest vista yang dilancarkan pada Ogos, untuk rakan kongsi penasihat kewangan Etiqa.
Pada awal 2025, Etiqa melancarkan tawaran takaful pertama Singapura, Invest future, dalam tempoh lebih sedekad dengan Maybank Singapura sebagai pengedar eksklusifnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg