Perniagaan Singapura akan meraih manfaat daripada bengkel, pembukaan akaun bank yang lebih cepat, dan lain-lain di bawah perjanjian untuk meningkatkan kerjasama rentas sempadan, terutama berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai pada 17 Julai antara Maybank, pemberi pinjaman terbesar Malaysia, dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) juga bertujuan memanfaatkan peluang di seluruh Asia Tenggara, lapor The Straits Times (ST).
Dengan jangkaan rantau ini akan menjadi ekonomi terbesar keempat dunia menjelang 2030, dengan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) gabungan sebanyak AS$4.5 trilion ($5.8 trilion), kedua-dua pihak merancang mengadakan mesyuarat, bengkel dan acara rangkaian untuk mempromosikan pembangunan, pelaburan dan perdagangan, dengan tumpuan pada JS-SEZ.
Maybank akan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan untuk perniagaan, termasuk proses pembukaan akaun yang lebih pantas, serta menyokong program berkaitan kemampanan dan pelaburan patuh syariah.
“Kerjasama ini bukan sahaja menunjukkan komitmen jangka panjang kepada perniagaan Singapura, bahkan juga menandakan peranan lebih aktif bagi kedua-dua pihak dalam landskap pembangunan serantau yang baru,” kata Ketua Perbankan Sejagat, Maybank Singapura, Encik Chong Wee Yeat.
Presiden SCCCI, Encik Kho Choon Keng, yang mempunyai 5,000 ahli korporat dan lebih 150 ahli persatuan perdagangan, berkata perjanjian itu akan membantu perniagaan berkembang ke pasaran antarabangsa dengan keyakinan dan kecekapan.
“Sejak penubuhannya, Singapura telah memahami pentingnya peluang antarabangsa. Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, kita perlu terus membuka minda dan meluaskan wawasan ke arah pembangunan antarabangsa,” kata beliau.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar), Cik Gan Siow Huang, yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, berkata pemerintah akan terus menyokong perniagaan yang berhadapan dengan persekitaran luaran yang tidak menentu.
Beliau turut menyebut tentang Geran Penyesuaian Perniagaan yang diumumkan oleh Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) minggu lepas.
Geran itu, yang bertujuan membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan landskap tarif baru, akan dilancarkan menjelang Oktober dan dihadkan kepada $100,000 bagi setiap syarikat dengan pembiayaan bersama.
JS-SEZ dijangka mencipta 20,000 pekerjaan yang memerlukan kemahiran untuk rakyat di kedua-dua belah Tambak Johor.
Zon itu merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar di Malaysia dan dijangka menarik pelaburan daripada klien Maybank yang berpangkalan di Singapura.
Maybank meramalkan bahawa pelaburan daripada klien itu akan mencecah RM2.35 bilion ($711.4 juta) dalam aliran masuk pelaburan ke Johor dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg