Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MERUNGKAI ISU KEWANGAN

Fikir jangka panjang, kadar pinjaman rumah tidak akan kekal rendah

Apr 18, 2021 | 05:30 AM



KADAR pinjaman rumah mungkin rendah ketika ini dari 1.22-1.23 peratus setahun. Ini mungkin membuat seseorang terfikir memanfaatkannya dengan membeli rumah baru.



Awas - berfikirlah secara jangka panjang dan mendalam, sebelum membuat keputusan berdasarkan kadar yang ada sekarang. Ini kerana tiada jaminan kadar itu akan kekal rendah begini.



Terdapat risiko ia akan meningkat berdasarkan beberapa perkembangan.



Apabila kadar meningkat, ia menjejas jumlah bayaran bulanan dan sebaiknya ambil kira faktor ini sebelum membuat keputusan.



Hal ini juga disebut Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam baru-baru ini yang menyatakan bahawa pembeli rumah harus mengambil kira kadar faedah yang boleh meningkat di masa hadapan kerana ia dikhuatiri meningkatkan kos pinjaman mereka.



Kenaikan kadar pinjaman boleh dijangkakan tahun ini memandangkan ekonomi dunia, termasuk Singapura sedang melalui pemulihan setelah terjejas teruk akibat wabak Covid-19 tahun lalu.



Anggaran awal menunjukkan ekonomi tumbuh 0.2 peratus pada suku pertama tahun ini, kali pertama ia meningkat setelah dipukul badai akibat wabak Covid-19.



Secara keseluruhan, ekonomi Singapura dijangka tumbuh 4-6 peratus tahun ini selepas menguncup 5.4 peratus tahun lalu.



Oleh kerana kadar pinjaman kekal rendah tahun lalu, ramai pembeli yang mengambil peluang itu untuk membeli rumah. Ini boleh dibuktikan dengan permintaan tinggi pembelian rumah dan harga rumah yang meningkat sejak beberapa bulan lalu.



Namun, jika kadar pinjaman meningkat di masa hadapan, adakah mereka akan dapat menampung kenaikan itu dan terus membayar ansuran pinjaman perumahan?



HARGA RUMAH TERUS MENINGKAT



Nilai harga rumah privet meningkat 2.9 peratus bagi tiga bulan pertama tahun ini, yang merupakan rentak paling tinggi sejak suku kedua 2018, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA). Ia merupakan kenaikan empat suku tahunan berturut-turut.



Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga meningkat 2.8 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding suku terakhir tahun lalu, menurut anggaran awal HDB.



Di sebalik kemelesetan terburuk sejak kemerdekaan Singapura, harga jualan semula HDB meningkat 5 peratus dan jumlah urus niaga flat jualan semula meningkat 4.4 peratus mencapai 24,748 flat tahun lalu.



MENGAPA PERMINTAAN FLAT JUALAN SEMULA HDB MENINGKAT?



Ketua penyelidikan dan runding cara ERA Realty, Encik Nicholas Mak, berkata terdapat beberapa sebab mengapa permintaan flat jualan semula HDB meningkat antaranya, ialah geran menarik bagi pembeli flat jualan semula dan penundaan binaan flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO).



Pemerintah telah meningkatkan bekalan flat BTO dengan banyak dari 2011 hingga 2014 yang dibina dalam tempoh tiga hingga empat tahun.



Setelah flat ini mencapai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama lima tahun, flat-flat ini dijual dalam pasaran jualan semula pada 2019 dan 2020 dan trend ini dijangka berterusan, kata Encik Mak.



Oleh kerana terdapat penundaan pembinaan flat-flat BTO yang baru, pasangan muda atau pembeli flat kali pertama juga menimbangkan membeli flat jualan semula.



Baru-baru ini, pemerintah berkata 85 peratus dari 89 projek BTO adalah enam hingga sembilan bulan lebih lewat dari jadual kerana wabak Covid-19 yang menyukarkan firma binaan mendapat tenaga buruh serta menjejas bekalan binaan.



Dengan geran perumahan yang menarik bagi membeli flat jualan semula, pembeli yang layak juga memilih flat jualan semula.



PERMINTAAN RUMAH PRIVET



Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berpendapat permintaan bagi rumah privet pula datang dari pembeli yang memang ingin membeli rumah lebih besar.



“Permintaan masih didorong sebahagian besarnya oleh pembeli yang ingin membeli rumah yang besar. Pelabur asing sebagai peratusan penjualan masih rendah sekitar 8 peratus berbanding paras tertinggi sebelum ini sebanyak 18 peratus,’’ katanya.



Sabtu lalu, separuh atau 278 dari 540 unit, Irwell Hill Residences, sebuah projek kondominium 99 tahun di River Valley Road dijual pada harga $2,700 bagi setiap kaki persegi.



Sekitar 80 peratus pembeli merupakan rakyat Singapura, dan bakinya merupakan penduduk tetap (PR) dan warga asing dari China, Malaysia, Indonesia, Australia, Korea Selatan dan Britain, kata kenyataan pemajunya, City Development Ltd (CDL).



Kadar faedah yang rendah sejak tahun lalu juga mendorong pembeli untuk membeli rumah kerana kos pinjamannya yang rendah.



KADAR PINJAMAN TIDAK AKAN KEKAL RENDAH



Dengan pemulihan ekonomi, kadar faedah di Amerika akan meningkat dan langkah itu akan diikuti oleh negaranegara lain termasuk Singapura.



Meskipun kebanyakan pembeli akan dapat membayar pinjaman perumahan mereka, Encik Tharman menyatakan terdapat peratusan kecil keluarga yang dikhuatiri menghadapi masalah dengan aliran tunai mereka jika kadar faedah meningkat di masa hadapan.



“Pembeli harus bertanggapan bahawa kadar faedah akan meningkat, dan memastikan bahawa keupayaan mereka membayar pinjaman rumah sebelum membuat komitmen kewangan jangka panjang,’’ kata Encik Tharman.



ADAKAH LANGKAH REDAKAN PASARAN HARTANAH PERLU?



Terdapat juga spekulasi dalam kalangan wakil industri yang menyatakan satu lagi pusingan meredakan pasaran hartanah atau cooling measures mungkin perlu dilaksanakan bagi membendung kenaikan harga rumah.



Namun, satu analisis Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bagaimana pun menunjukkan nisbah servis pinjaman perumahan (MSR) masih baik walaupun dalam senario tertekan misalnya jika kadar pinjaman meningkat 2.5 peratusan mata dan pendapatan susut 10 peratus.



Encik Saktiandi berkata langkah meredakan hartanah yang sudah pun dilaksanakan pemerintah adalah tegar dan menunjukkan kesan yang baik.



Ini termasuk syarat-syarat sebelum mengambil pinjaman seperti Nisbah Bayaran Pinjaman Hutang (TDSR), yang memerlukan hutang bulanan individu tidak boleh melebihi 60 peratus gaji bulanan kasar, serta kadar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) dan had pinjaman kepada nilai hartanah (LTV).



Malah, beliau berpendapat bahawa kenaikan harga rumah bukan satu kebimbangan utama.



“Penjualan tanah berkurangan tahun lalu. Kos bahan binaan, kos buruh dan kos langkah jarak selamat pula meningkatkan kos bagi pemaju hartanah. Marjin pemaju hartanah sebenarnya telah susut di sebalik kenaikan harga rumah.



“Jadi, pemerintah sebenarnya harus menangani isu bekalan dan kos dan tidak seharusnya bimbang mengenai harga pada masa ini. Namun, jika harga hartanah meningkat lebih pantas dari pertumbuhan ekonomi bagi tempoh yang agak lama, ia boleh menjadi satu keprihatinan,’’ ujar Encik Saktiandi.



KESIMPULAN



Kenaikan kadar faedah tentu sekali akan meningkatkan kos pinjaman.



Lantas, bayaran yang perlu pemilik rumah lunaskan bagi membayar pinjaman perumahan boleh dijangka meningkat bagi bulan-bulan mendatang.



“Potensi kenaikan kadar faedah mencerminkan bahawa kos membayar hutang akan juga meningkat. Jadi, pembeli hartanah tidak harus mengambil hutang berlebihan melebihi kemampuan mereka untuk membayarnya,’’ tambah Encik Saktiandi.




PERMINTAAN RUMAH PRIVET DIDORONG INGIN BELI RUMAH LEBIH BESAR



“Permintaan masih didorong sebahagian besarnya oleh pembeli yang ingin membeli rumah yang besar. Pelabur asing sebagai peratusan penjualan masih rendah sekitar 8 peratus berbanding paras tertinggi sebelum ini sebanyak 18 peratus.’’
– Encik Saktiandi, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh



INDEKS HARGA PERUMAHAN PRIVET



“Kali terakhir pemerintah perkenalkan langkah meredakan pasaran hartanah ialah pada Julai 2018. Pada suku kedua 2018 sebelum ia diperkenalkan, indeks harga hartanah perumahan naik 3.4 peratus bagi perbandingan suku tahunan dan 9.1 peratus bagi perbandingan tahunan. Ketika ini, indeks harga perumahan privet tidak meningkat pada kadar itu.’’
– Encik Nicholas Mak, ketua penyelidikan dan runding cara ERA Realty




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >