Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma AI jagaan kesihatan lancar hab serantau di S’pura

Heidi rancang labur sekitar $10j, sasar automasi dokumentasi klinikal
Nov 20, 2025 | 3:59 PM
Syarikat kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan, Heidi
Pengasas bersama syarikat kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penjagaan kesihatan, Heidi, (dari kiri) Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Encik Waleed Mussa; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Thomas Kelly; dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO), Encik Yu Liu. - Foto HEIDI

Syarikat kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penjagaan kesihatan, Heidi, mengumumkan pelancaran ibu pejabat serantau Asia Tenggara di Singapura, dengan rancangan melabur AS$8 juta ($10.46 juta) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Dana tersebut akan digunakan untuk membangunkan pasukan tempatan dalam bidang jualan, pelaksanaan, dan perkongsian klinikal, dengan sasaran pengambilan pekerja dianggar sebanyak 10 hingga 12 peranan dalam tempoh tersebut.

Demikian menurut syarikat itu pada 20 November.

Kemasukan Heidi tatkala Singapura menghadapi tekanan sistem penjagaan kesihatan, didorong oleh penduduk menua dan kekurangan pengamal klinikal, lapor The Business Times (BT).

Menjelang 2030, seorang dalam empat penduduk Singapura dijangka berumur 65 tahun dan ke atas – meningkat daripada seorang dalam 10 orang pada 2010.

Satu kajian yang dibiayai SingHealth dan diterbitkan pada Januari menyifatkan AI dan teknologi digital lain sebagai ‘penting’ dalam menangani isu penduduk menua di Singapura.

Menurut kajian tersebut, teknologi sebegitu berpotensi mencetus “anjakan paradigma” dalam penjagaan kesihatan dengan “mempertingkatkan rawatan perubatan, menangani pengasingan sosial, memupuk kesejahteraan mental warga emas, serta menyokong tenaga kerja penjagaan kesihatan”.

Pada 2024, pemerintah turut menyatakan sekitar 6,000 jururawat dan kakitangan penjagaan perlu diambil setiap tahun untuk memenuhi permintaan perkhidmatan kesihatan dan tenaga kerja.

Heidi, yang baru-baru ini berjaya mengumpul AS$65 juta dalam pusingan pembiayaan Siri B yang diterajui oleh Point72 Private Investments, menyasarkan untuk mengautomasikan dokumentasi klinikal melalui wadah AI miliknya.

Langkah itu dijangka dapat meningkatkan keupayaan kakitangan klinisian untuk memberi khidmat lebih berkesan serta “membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa kepada penjagaan pesakit”.

Menurut Heidi, wadah tersebut, yang menyalin transkrip perbualan antara doktor dengan pesakit ke dalam nota klinikal tersusun, telah menyokong hampir 55,000 sesi konsultasi di Singapura.

Di peringkat sejagat, syarikat itu berkata alatnya menjimatkan pengguna sebanyak 17.6 jam setiap minggu, merangkumi lebih dua juta sesi konsultasi.

Pelancaran Heidi di Singapura menyusuli langkah pengembangan operasi terkininya di Hong Kong.

Syarikat itu berkata alat AI mereka kini memproses lebih dua juta sesi konsultasi pesakit setiap minggu, merangkumi 110 bahasa di 116 negara.

Pusingan pembiayaan terbarunya menjadikan keseluruhan modal yang diperoleh sebanyak AS$96.6 juta, disokong oleh pelabur seperti Blackbird Ventures, Headline dan LocalGlobe.

“Bagi Heidi, Singapura bukan sekadar pintu masuk pasaran, malah merupakan batu loncatan bagi fasa seterusnya dalam inovasi dan pertumbuhan penjagaan kesihatan di Asia Tenggara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga pengasas bersama Heidi, Dr Thomas Kelly.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg