Sejak kecil, Encik Muhammad Faiz Zufairi, gemar membina dunia ciptaannya sendiri dalam permainan video Minecraft – membina hospital dan berpura-pura menjadi jururawat.
Apabila beliau diterima masuk ke jurusan kejururawatan di sebuah politeknik tempatan pada 2023, beliau seakan tidak percaya impiannya akhirnya menjadi nyata.
Namun, dari semasa ke semasa, anak bongsu tiga beradik itu mula menyedari dirinya sering jatuh sakit dan hilang minat terhadap perkara yang dahulunya membuatnya rasa girang.
Tatkala dunianya diselubungi kegelapan dan keinginan yang bercokol di mindanya membuatnya terasa seolah-olah akan lemas bak biduk tiris menanti karam, Encik Faiz, kini 21 tahun, akhirnya dirujuk ke Institut Kesihatan Mental (IMH) dek kemurungan.
Meskipun hari-harinya kadangkala terasa berat dan meletihkan, beliau tetap berusaha mencari ketenangan.
Encik Faiz berkongsi tentang cabaran kesihatan mental yang dihadapi karyawan kesihatan sepertinya, dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran dan memupuk sifat empati dalam masyarakat.
Walaupun pada mulanya beliau mampu mengurus tekanan – malah berjaya memasuki Senarai Pengarah bagi pelajar cemerlang sebanyak dua kali pada 2023 dan 2024 – Encik Faiz mengakui beliau mula rasa keletihan atau ‘burnout’.
Perkara yang dahulunya menggembirakan kini terasa seperti beban.
Hari demi hari kerja hanya dilakukan sekadar memenuhi tanggungjawab, seperti kehidupan seseorang yang kehilangan sukmanya.
Tanpa disedari, gejala kemurungan tersebut yang mula muncul pada akhir 2023 menjadi semakin genting/
Beliau akhirnya mendapatkan bantuan daripada pensyarahnya di sekolah.
Tidak lama kemudian, pada Februari 2024, Encik Faiz dirujuk ke IMH dan disahkan mengalami kemurungan.
Pada suatu ketika, Encik Faiz berkata keadaannya telah menjejas jati dirinya – baik sebagai seorang penjaga mahupun sebagai seorang yang memerlukan penjagaan.
Beliau yang mengalami kemurungan fungsi tinggi – yang pada zahirnya kelihatan seperti individu normal – tidak kerap menangis, masih bergaul dengan orang sekeliling dan menghadiri kelas.
Namun, beliau dibelenggu persoalan, “Bagaimanakah hendak menjaga orang lain sedangkan diri sendiri memerlukan penjagaan?”
“Lucunya, fikiran tentang keselamatan pesakit saya akhirnya menjadi titik perubahan saya,” katanya kepada Berita Harian.
Mengimbas kembali detik beliau hampir menandatangani borang menarik diri daripada jurusan kejururawatan, Encik Faiz berkata beliau tidak berbuat demikian kerana jauh di sudut hati, minatnya terhadap bidang kejururawatan belum pudar.
Ia mengingatkannya pada bulan Ramadan ketika beliau berusia 12 tahun.
Selepas waktu sekolah, Encik Faiz sering meluangkan masa di Hospital Besar Singapura (SGH) bersama ahli keluarga untuk menjaga bapanya yang ketika itu disahkan menghidap barah paru-paru pada 2016.
Ada hari, beliau dan keluarga tidak sempat berbuka puasa kerana terlalu letih atau sibuk memastikan bapanya dijaga rapi sepanjang tempoh beliau berada di tahap lanjut penyakitnya.
Namun, apa yang masih terpahat dalam ingatannya hingga ke hari ini ialah sikap prihatin dan keikhlasan seorang jururawat ketika itu, yang menawarkan beliau makanan dan minuman untuk bersahur.
“Detik itu benar-benar kekal dalam diri saya. Sebab saya sedar, kerja jururawat bukan sekadar menjaga pesakit, bahkan juga menjaga si penjaga.
“Itulah sebab, walaupun saya disahkan mengalami kemurungan, saya tetap memilih untuk kekal dalam bidang kejururawatan.
“Kerana saya ingin menjaga orang lain di luar sana… dan membalas budi baik yang pernah saya terima ketika kecil,” ujarnya, yang juga disahkan mengalami kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) beberapa bulan selepas disahkan mengalami kemurungan.
Sebagai pelajar tahun akhir dalam pengajian diplomanya, Encik Faiz mengakui beban kerja menjadi semakin mencabar saban tahun.
Dengan tempoh program pelatih klinikal sekitar tiga bulan, di samping harapan untuk mampu bekerja secara berdikari.
Ini bermakna beliau perlu mengurus kes pesakit, memantau arahan doktor, serta memahami selok-belok setiap prosedur yang terlibat.
“Untuk menghadapi cabaran dalam hidup saya, saya mula belajar tentang terapi… seperti menulis jurnal, memasak, menulis lagu dan melakukan perkara di luar bidang kejururawatan yang boleh memberi saya semangat untuk teruskan hidup dan menjaga diri sendiri,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada perjalanan pemulihannya, Encik Faiz turut memuat naik video di wadah TikTok, berkongsi tentang cabaran kesihatan mental yang pernah dihadapinya, dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran dan memupuk rasa empati dalam kalangan masyarakat.
“Saya benar-benar tersentuh hati, terutama apabila ada pelajar yang datang menemui saya dan berkongsi tentang masalah kesihatan mental mereka, serta bertanya bagaimana cara mendapatkan bantuan.
“Bagi saya, perkara penting yang ingin saya ketengahkan ialah kemurungan tidak semudah yang disangka untuk dikenal pasti.
“Seseorang yang mengalami kemurungan masih boleh bekerja dan berfungsi seperti biasa, tetapi di dalam dirinya, dia sedang berjuang.
“Saya rasa masih banyak stigma tentang kemurungan – ramai menganggap kalau seseorang murung, dia pasti banyak menangis.
“Jadi penting untuk kita sentiasa bertanya khabar dan prihatin terhadap orang terdekat, kerana kita mungkin tidak tahu penderitaan yang mereka simpan dalam diam,” ujarnya.
Mengakui mungkin ada keraguan terhadap keupayaannya sebagai seorang jururawat, Encik Faiz memastikan beliau sentiasa memaklumkan kepada penyelianya tentang keadaannya bagi menjamin keselamatan pesakit.
Dalam Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan oleh IMH terkini yang dimulakan pada 2022, seorang dalam tiga anak muda berusia antara 15 dengan 35 tahun di Singapura melaporkan mengalami gejala kemurungan, keresahan dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk.
Kajian itu juga menunjukkan kadar kemurungan, keresahan dan tekanan yang lebih tinggi dalam kalangan individu berusia antara 15 dengan 24 tahun, serta dalam kalangan masyarakat Melayu.
Pusat pencegahan bunuh diri, Samaritans of Singapore berkata dalam satu kenyataan pada Julai 2025, sebanyak 314 kes bunuh diri telah dilaporkan di Singapura pada 2024.
Berdasarkan data awal daripada pusat tersebut, bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan belia berusia 10 hingga 29 tahun – bagi tahun keenam berturut-turut.
Daripada 314 kematian akibat bunuh diri yang dilaporkan, 202 kes, atau 64.3 peratus melibatkan lelaki; manakala 112 kes, atau 35.7 peratus lagi melibatkan wanita.
Namun begitu, Encik Faiz telah menjalani pelbagai bentuk terapi untuk sampai ke tahapnya hari ini – termasuk menonton persembahan muzikal Broadway, hasil galakan seorang rakan.
Beliau kini perlahan-lahan kembali menikmati perkara yang dahulunya memberi kegembiraan dalam hidupnya.
Malah, beliau turut berkongsi ilmu dan pengalamannya bersama rakan seangkatan tentang cabaran yang mungkin mereka hadapi dalam bidang kejururawatan.
“Dulu saya tak banyak sumber untuk dirujuk, sebab saya tak kenal orang dalam bidang kesihatan yang juga mengalami kemurungan.
“Jadi saya ingin berkongsi dengan mereka bahawa tak mengapa jika sekarang semuanya terasa gelap.
“Teruskan bertahan, kerana hidup ini jauh lebih luas daripada apa yang kita sangkakan sekarang.
“Memang mudah bagi kemurungan untuk menutup cahaya itu, tapi peganglah pada harapan itu – kerana tiada siapa yang boleh mengambil harapan itu daripada anda,” tambahnya.
Talian Bantuan
KESEJAHTERAAN MENTAL
• Talian bantuan nasional: 1771 (24 jam) atau 6669-1771 (melalui WhatsApp)
• Samaritans of Singapore: 1767 (24 jam) atau 9151-1767 (CareText 24 jam melalui WhatsApp)
• Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
• Reben Perak Singapura: 6386-1928
• Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Belia, Chat: 6493-6500/1
• Talian bantuan wanita (Aware): 1800-777-5555 (setiap hari biasa, 10 pagi hingga 6 petang)
• Talian bantuan warga emas: 1800-555-5555 (setiap hari biasa, 9 pagi hingga 5 petang)
KAUNSELING
• TOUCHline (Kaunseling): 1800-377-2252
• Talian TOUCH Care (untuk penjaga): 6804-6555
• Pusat Penjagaan dan Kaunseling: 6536-6366
• Khidmat Masyarakat We Care: 3165-8017
• Pusat Kaunseling Shan You: 6741-9293
• Clarity Singapore: 6757-7990
SUMBER DALAM TALIAN
• mindline.sg/fsmh
• eC2.sg
• tinklefriend.sg
• chat.mentalhealth.sg
• carey.carecorner.org.sg (untuk umur 13 hingga 25)
• limitless.sg/talk (untuk umur 12 hingga 25)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg