Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma hartanah S’pura kian perkukuh kehadiran di Jepun

May 2, 2025 | 5:54 PM
Para pemaju hartanah Singapura telah melabur ratusan juta dolar dalam pasaran hartanah Jepun, dalam suku pertama 2025.
Para pemaju hartanah Singapura telah melabur ratusan juta dolar dalam pasaran hartanah Jepun, dalam suku pertama 2025. - Foto MIYUKI KANEKO (NACASA & PARTNERS INC)

Jepun kini semakin menyerlah sebagai destinasi menarik bagi pemaju hartanah di Asia.

Selepas menerima jumlah pelancong antarabangsa tertinggi seramai 36.9 juta pada 2024, Jepun menjangkakan ketibaan 60 juta pelancong menjelang 2030.

Dengan dolar Singapura yang agak kukuh berbanding yen Jepun, dan potensi besar untuk membangunkan sektor pelancongan di kawasan tertentu yang kurang dikunjungi pelancong di negara itu, para pemaju hartanah Singapura semakin mengukuhkan kehadiran di sana.

Ia melibatkan pelaburan berjumlah ratusan juta dolar kesemuanya, hanya dalam suku pertama 2025.

Pemaju terawal yang mengorak langkah tersebut ialah CapitaLand Ascott Trust, yang mengumumkan pemerolehan syarikat hotel bajet, ibis Styles Tokyo Ginza dan Chisun Budget Kanazawa Ekimae di Jepun, pada harga 21 bilion yen ($190 juta) pada Januari.

Dengan pembelian tersebut, portfolio CapitaLand Ascott Trust di Jepun kini merangkumi dua kediaman berservis, empat hotel, 23 hartanah perumahan sewa, dan satu hartanah penginapan pelajar.

Bulan berikutnya, Dana Amanah Pelaburan Hartanah (Reit) Far East Hospitality Trust (FEHT) mengumumkan pembelian hotel Four Points by Sheraton Nagoya yang mempunyai 319 bilik.

Hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu di Jepun itu dibeli pada harga enam bilion yen.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FEHT, Encik Gerald Lee, berkata hartanah hotel perniagaan empat bintang, seperti yang diperolehi syarikat itu, “lebih mudah diperniagakan”, serta bersifat serba guna kerana ia memenuhi keperluan kededua pelawat perniagaan dan pelancong.

Walaupun terdapat perbincangan mengenai kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan oleh Bank Jepun (BOJ), Encik Lee berkata Reit tersebut berjaya mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah tetap selama empat tahun bagi pembelian hotel Nagoya itu.

FEHT mengumumkan dalam satu kenyataan pada 16 April ia telah memeterai perjanjian kemudahan kewangan berkaitan kemampanan bernilai $22 juta dengan sebuah bank institusi.

Namun, ia tidak memberi butiran lanjut mengenai kegunaan perjanjian itu, lapor The Straits Times.

Sementara itu, firma ekuiti swasta, Patience Capital Group (PCG), berjaya mengumpul sejumlah $370 juta bagi Dana Pelancongan Jepun syarikat itu, yang sejumlah besarnya akan digunakan untuk membangunkan lagi bandar peranginan ski Myoko di wilayah Niigata.

Ia sedang membina sebuah pusat peranginan pergunungan dan perbandaran, dua hotel dan beberapa kediaman, serta berhasrat menaik taraf pelbagai kemudahan sedia ada.

Sebahagian besar dana tersebut dibiayai oleh ekuiti swasta, serta beberapa bank Jepun seperti Mizuho, ​​di samping bank tempatan dari Niigata dan wilayah Nagano yang berdekatan.

Menurut CEO PCG, Encik Ken Chan, syarikat itu berhasrat membangunkan sepenuhnya seluruh kawasan gunung itu, termasuk perbandaran sekitarnya, dengan membina hotel dan kediaman mewah.

Ia juga bekerjasama dengan pemerintah tempatan untuk memastikan pekerjaan bagi penduduk tempatan sepanjang tahun, melepasi tempoh kemuncak musim sejuk yang menarik ramai pelancong.

Selain itu, ia turut berhasrat membina kemudahan konvensyen bagi menganjurkan acara antarabangsa atau berskala besar seperti persidangan Davos.

Syarikat tersebut mengadakan perhimpunan bagi penduduk tempatan setiap dua atau tiga bulan untuk membincangkan isu yang menjadi keprihatinan mereka, seperti bagaimana aliran air memberi kesan kepada sawah padi mereka.

“Kami memberitahu mereka kami mudah dihubungi. Kami juga telah mengambil seorang bekas kakitangan pejabat bandar Myogo yang sangat penting, dan beliau membantu menjalin hubungan baik dengan penduduk kampung.

“Kami memang mendengar suara penduduk tempatan secara langsung. Kami bercakap dengan mereka secara terbuka... seperti golongan anak muda, sekiranya mereka mahu berpindah ke kawasan pergunungan dan bukannya Tokyo,” kata Encik Chan.

Beliau berharap dapat memulakan kerja pembinaan pada 2026, dan menganggarkan projek pembangunan itu mungkin mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk siap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg