Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma pemula S’pura ganda usaha guna AI, kendali pelbagai platform
Firma pemula S’pura ganda usaha guna AI, kendali pelbagai platform
Laporan Aspire: Pengusaha kian bangun tenaga kerja teragih, pengambilan pekerja luar kian meningkat
Firma pemula S’pura ganda usaha guna AI, kendali pelbagai platform
Syarikat pemula di Singapura semakin giat memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), dengan jumlah syarikat yang melanggani platform AI meningkat sebanyak 42 peratus pada 2026 berbanding tahun sebelumnya, menurut satu laporan syarikat teknologi kewangan atau ‘fintech’, Aspire, yang diterbitkan pada 16 Jun.
Bilangan syarikat pemula yang menggunakan tiga atau lebih platform AI secara serentak meningkat lebih seganda kepada 704 antara 2025 dengan 2026, berbanding 339 syarikat pada tempoh tahun sebelumnya (2024-2025).
Secara purata, setiap syarikat pemula menggunakan 1.87 platform AI.
Laporan itu menganalisis lebih 10,000 perniagaan di platform Aspire sepanjang tahun kewangan 2025 dan tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 31 Mac.
ChatGPT merupakan platform AI yang paling terkenal dalam kalangan syarikat pemula, dengan 2,377 pelanggan berbayar unik pada tahun kewangan 2026, satu peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tahun kewangan 2024.
Pelanggan berbayar unik merujuk kepada individu atau syarikat yang hanya dikira sekali sahaja dalam tempoh masa tertentu, tidak kira berapa kali mereka melakukan transaksi atau melanggani platform berkenaan.
Claude pula berada di tempat kedua dengan 1,537 pelanggan berbayar unik, dengan peningkatan 258 peratus dalam tempoh yang sama.
Walaupun Claude mempunyai jumlah pengguna lebih rendah, setiap pengguna Claude membelanjakan kira-kira 1.4 kali lebih banyak daripada pengguna ChatGPT, AS$1,598 ($2,049) berbanding AS$1,144 setiap tahun.
Jumlah perbelanjaan untuk Claude meningkat 17 kali ganda dalam tempoh setahun, manakala perbelanjaan untuk ChatGPT meningkat sebanyak 79 peratus.
Daripada keseluruhan perbelanjaan AI syarikat pemula di Singapura, 37 peratus diperuntukkan kepada Claude, berbanding 41 peratus kepada ChatGPT.
Walaupun kos penggunaan meningkat, jurang antara Claude dengan ChatGPT semakin mengecil.
Antara 2024 dengan 2025, ChatGPT mempunyai 4.2 kali lebih ramai pelanggan di Singapura berbanding Claude. Namun, nisbah itu menurun kepada 1.5 kali antara 2025 dengan 2026.
Menurut laporan tersebut, Claude berpotensi menyamai jumlah pelanggan ChatGPT dalam tempoh setahun akan datang dengan kadar pertumbuhan ini.
Syarikat pemula di Singapura semakin banyak mengambil pekerja dari luar negara, dengan Asia Tenggara sebagai rantau utama bagi tenaga kerja teragih.
Filipina muncul sebagai pasaran tenaga kerja luar negara utama bagi syarikat pemula Singapura, berdasarkan jumlah transaksi pembayaran gaji, diikuti oleh Indonesia dan India.
Struktur tenaga kerja juga semakin berubah, dengan 51 peratus pemula di Singapura membayar kakitangan secara bulanan dan 21 peratus membuat pembayaran mengikut keperluan, mencerminkan peningkatan penggunaan kontraktor dan pekerja bebas.
Nilai median transaksi gaji turut menurun kepada AS$3,318 pada FY2026, berbanding AS$3,535 pada FY2025.
Dolar Singapura pula kekal sebagai mata wang utama bagi transaksi pembayaran gaji.
Namun, penggunaan dolar Amerika Syarikat semakin meningkat, dengan bahagiannya dalam transaksi gaji meningkat kepada 9.1 peratus, berbanding 7.1 peratus dua tahun lalu (2024).
Pejabat fizikal masih memainkan peranan penting bagi syarikat pemula di sini, dengan perbelanjaan berkaitan pejabat merangkumi 44.3 peratus keseluruhan perbelanjaan prasarana.
Perbelanjaan sewa untuk tempoh tetap dan api air menurun, manakala perbelanjaan bagi ruang kerja bersama meningkat dengan ketara.
Perbelanjaan syarikat pemula di penyedia ruang kerja bersama seperti International Workplace Group (IWG) dan WeWork pada tahun kewangan 2026 melonjak hampir seganda berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Aspire, ini mencerminkan peralihan kepada model ruang kerja yang lebih fleksibel berbanding komitmen jangka panjang.
IWG merupakan penyedia ruang kerja bersama paling terkenal berdasarkan jumlah transaksi dalam kalangan syarikat pemula Singapura. WeWork berada di tempat kedua, manakala Regus di tempat ketiga.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Aspire, Encik Andrea Baronchelli, berkata:
“Syarikat pemula sering menjadi petunjuk awal tentang hala tuju penggunaan teknologi dan amalan perniagaan yang lebih meluas.
“Mereka bergerak lebih pantas, lebih bebas bereksperimen, dan bertindak balas terhadap tekanan ekonomi lebih awal berbanding syarikat atau pertubuhan lebih besar.”
