Enterprise Singapore (EnterpriseSG) telah melancarkan peta hala tuju Piawaian dan Pematuhan (S&C) 2035.

Inisiatif ini menggariskan langkah strategik untuk memperkasa keupayaan S&C negara, merintis kerjasama antarabangsa yang lebih mendalam, serta memperkasakan perniagaan agar mampu bersaing dalam landskap global yang kian mencabar.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, mengumumkan hala tuju tersebut pada majlis makan malam anjuran EnterpriseSG di Shangri-La Singapore pada 11 Jun, dengan menekankan tiga tonggak utama pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, turut memperincikan strategi pelaksanaan peta hala tuju tersebut semasa berucap di sidang kemuncak S&C pada pagi 12 Jun.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menegaskan bahawa landskap global sedang mengalami perubahan yang signifikan.

Beliau menyoroti peralihan rantaian bekalan dan kemajuan teknologi yang kian memecut.

Perniagaan kini bergelut dengan peraturan yang tidak menentu, serta kerumitan ujian dan pensijilan bertindih saat menembusi pasaran baharu.

Realiti ini bukan sahaja melonjakkan kos operasi, malah mengundang ketidaktentuan bagi syarikat.

Bagi pengawal selia, cabarannya adalah mengimbangi perlindungan kepentingan awam dengan tuntutan inovasi yang mendesak, tambah Encik Gan. Di sisi lain, pengguna semakin berwaspada akan tahap kebolehpercayaan produk, perkhidmatan, dan teknologi.

Beliau berkata: “Dalam persekitaran seumpama ini, piawaian dan pematuhan, atau S&C, memainkan peranan yang jauh lebih penting.”

Peta hala tuju ini bermatlamat untuk memupuk kepercayaan mendalam, agar jaminan kualiti di satu pasaran diiktiraf serta diterima dengan mudah di pasaran lain.

Strategi 2035 ini berpaksikan tiga teras utama: memacu pertumbuhan ekonomi, membina ekosistem masa depan yang berdaya tahan, serta memperkukuh kedudukan Singapura sebagai rakan kongsi S&C yang diyakini di persada global.

Teras pertama memanfaatkan S&C sebagai pemangkin daya saing, bukan sekadar pematuhan, dengan menyepadukan piawaian secara proaktif ke dalam setiap produk, perkhidmatan, dan proses sejak awal lagi.

EnterpriseSG akan menggalakkan rakan kongsi dalam sektor utama dan pesat membangun, seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih, untuk memanfaatkan piawaian serta perkhidmatan pengujian, pemeriksaan, dan pensijilan bertauliah.

Dengan bekerjasama bersama syarikat pemula dan syarikat di peringkat awal, EnterpriseSG mahu penerimaan awal piawaian dijadikan kelebihan daya saing, sekali gus menggalakkan penerapan S&C sejak permulaan lagi.

Selain itu, EnterpriseSG akan memperkukuh ekosistem S&C Singapura untuk menyokong inovasi, pembangunan bakat, dan kawal selia.

Inisiatif ini akan menumpukan sektor baharu yang berkembang pesat seperti AI, perkhidmatan karbon, dan perubatan jitu, di mana rangka kerja S&C perlu dibangunkan lebih awal untuk memenuhi keperluan pasaran.

Pendekatan pra-piawaian ini penting untuk mencegah pemecahan sistem, yang jika dibiarkan, akan menuntut kos dan usaha penyelarasan yang jauh lebih besar di masa hadapan.

Untuk membentuk piawaian dalam bidang baharu, EnterpriseSG akan merintis projek ruang ujian kawal selia (regulatory sandboxes) sebagai platform untuk mengesahkan serta memperkemas rangka kerja inovatif sebelum dirasmikan, sambil mengurus risiko dengan berhemah.

Tonggak ketiga memfokuskan kepada pengukuhan peranan Singapura sebagai rakan kongsi dipercayai dalam ekosistem S&C serantau dan global.

Di tengah landskap global yang kian tidak menentu dan berpecah, langkah ini menjadi semakin penting.

Singapura kini giat memperdalam kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa untuk menyelaraskan piawaian serta memperluas pengiktirafan bersama.

Langkah ini termasuk memperluas kerjasama di Asia Tenggara bagi memastikan amalan industri kekal relevan dan koheren bagi teknologi baru, di samping menangani hambatan teknikal rentas sempadan.

EnterpriseSG juga akan memperkukuh perjanjian dua hala dan pelbagai hala, sekali gus mengurangkan kos pematuhan bagi mempercepat akses pasaran serta meraih peluang perdagangan.