Syarikat perkilangan dan perkhidmatan di Singapura menjangka keadaan perniagaan akan bertambah baik dari Julai hingga Disember, berbanding suku kedua 2024.
Ini disebabkan permintaan kian meningkat dalam semikonduktor, selain perjalanan dan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi, menurut dapatan dua tinjauan yang dikeluarkan pada 31 Julai.
Baki wajaran bersih sebanyak 23 peratus syarikat perkilangan menjangka keadaan perniagaan bertambah baik bagi beberapa bulan akan datang, menurut satu kajian oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Syarikat tersebut juga menjangka pengeluaran lebih tinggi pada suku ketiga 2024 berbanding suku kedua.
Bagi syarikat perkhidmatan, baki wajaran bersih sebanyak 13 peratus syarikat menjangka prospek perniagaan lebih menggalakkan, berdasarkan tinjauan Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat).
Ia juga meramalkan pendapatan lebih tinggi dari Julai hingga September, lapor The Straits Times (ST).
Baki wajaran bersih adalah perbezaan antara wajaran respons positif dengan negatif, dengan angka positif menandakan lebih optimis daripada pesimis.
Dalam sektor perkilangan, semua kelompok kecuali kelompok perkilangan bioperubatan melihat prospek perniagaan lebih baik untuk baki tahun ini.
Kelompok elektronik paling optimis, dengan baki wajaran bersih sebanyak 40 peratus syarikat meramalkan keadaan perniagaan bertambah baik pada separuh kedua 2024.
“Ini pada umumnya disebabkan segmen semikonduktor, yang menjangka permintaan lebih baik untuk peranti elektronik pengguna dan pertumbuhan teguh dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI), dengan (permintaan aplikasi AI) meningkatkan pesanan bagi cip memori, penyimpanan dan rangkaian,” kata EDB.
Kelompok kejuruteraan pengangkutan juga terus optimistik, didorong oleh segmen aeroangkasa, marin dan luar pesisir.
Kesemua segmen tersebut menjangka permintaan sihat bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, memandangkan perjalanan udara di seluruh dunia telah pulih dan melepasi paras sebelum pandemik.
Syarikat tersebut juga menjangka lebih banyak tempahan daripada pasaran minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia.
Dalam kelompok perkilangan umum, syarikat makanan, minuman dan tembakau menjangka tempahan meningkat bagi minuman, kuih-muih dan konfeksi disebabkan perayaan yang bakal tiba pada bulan-bulan mendatang, tambah EDB.
Bagaimanapun, segmen percetakan kekal pesimis disebabkan permintaan lembap untuk kerja cetakan.
Kelompok perkilangan bioperubatan juga menjangka keadaan perniagaan lebih lemah pada masa depan.
“Sentimen berhati-hati ini didorong oleh segmen teknologi perubatan, dengan kebimbangan terhadap ekonomi makro sedunia yang tidak menentu dan permintaan lemah daripada pasaran utama seperti China mungkin menjejas pesanan untuk instrumen sains hayat,” kata EDB.
Kebanyakan syarikat dalam sektor perkilangan tidak menyebutkan faktor yang bakal menjejas keupayaannya untuk mendapatkan tempahan eksport pada suku ketiga.
Namun, syarikat yang menjangkakan cabaran menyebutkan dua isu utama yang boleh menjejas perniagaan iaitu persaingan harga dari luar negara dan keadaan ekonomi luar negara seperti ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi di seluruh dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg