Pembekal sektor solar yang berpangkalan di China, GCL Technology Holdings, sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Arab Saudi mengenai pembukaan kilang luar negara pertama firma itu sedang negara-negara berhasrat melanjutkan hubungan tenaga mereka melampaui minyak.
Pengeluar polisilikon kedua yang terbesar di dunia – bahan utama dalam panel solar – sedang mencari tempat untuk membina sebuah loji di negara Timur Tengah yang boleh menghasilkan 120,000 tan setahun, kata ketua pegawai eksekutif bersama, Encik Lan Tianshi, dalam satu interviu. GCL Tech boleh mula beroperasi seawal 2025, katanya.
“Arab Saudi mempunyai infrastruktur matang dan pengalaman dalam pembuatan perindustrian,” kata Encik Lan dalam interviu berlainan bersama Televisyen Bloomberg, menambah bahawa cahaya matahari yang banyak di negara itu boleh menyokong peralihannya daripada minyak kepada pengeluar tenaga solar.
GCL Tech juga sedang mempertimbangkan menubuhkan pos luar di negara lain, walaupun ia paling maju di Arab Saudi, kata Encik Lan pada Khamis. Syarikat itu telah membuat pendaftaran di negara itu, mempunyai pasukan di sana dan sedang berbicara dengan pemerintah setempat dan suruhanjaya diraja.
Minat syarikat China itu adalah tanda terbaru berhubung peningkatan kerjasama tenaga antara dua negara selepas Presiden Xi Jinping mengunjungi Riyadh pada Disember. Di satu forum pada Ogos di kalangan negara-negara Bric yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, China juga telah mengundang Arab Saudi dan pengimport minyak terkemuka lain untuk menyertai kumpulan itu.
Syarikat solar Cina kini sedang bergelut dengan margin yang semakin berkurang akibat persaingan yang sengit. Encik Lan menjangka gelombang penyatuan dalam rantaian bekalan solar dengan lima daripada 10 syarikat yang sedang bertahan.
Harga polisilikon telah menjunam sejak awal 2023, mendorong beberapa pengeluar berhenti operasi pada Jun. Lebihan bekalan bahan dijangka pada separuh tahun kedua.
Namun, harga solar yang lebih rendah telah meningkatkan permintaan di China dan tempat lain. Ekonomi terbesar di Asia itu bersedia mencapai kapasiti tinggi pada tahun ini – sebanyak 140 gigawat, menurut Persatuan Industri Fotovoltaik China.
Dengan menubuhkan infrastruktur baru di Arab Saudi, GCL akan memanfaatkan pasaran berpotensi besar negara itu dan harga lebih tinggi bagi hasil polisikon di luar negara. Bahan itu juga lebih mudah sampai ke pengguna di Afrika dan Eropah dari Timur Tengah. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg