Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma S’pura raih dana bina khidmat lindung pemain muda siber

Jun 26, 2024 | 5:19 PM
Syarikat k-ID telah membangun perisian yang membolehkan ibu bapa mengatur kawalan dan pengesahan yang mematuhi peraturan berlainan, tanpa mengira di mana pemain berada.
Syarikat k-ID telah membangun perisian yang membolehkan ibu bapa mengatur kawalan dan pengesahan yang mematuhi peraturan berlainan, tanpa mengira di mana pemain berada. - Foto K-ID

Syarikat pemula Singapura, K-ID, yang menawarkan alat untuk membantu penerbit permainan dan ibu bapa melindungi kanak-kanak dan remaja daripada bahaya alam siber, memperoleh dana pelaburan sebanyak AS$45 juta ($61 juta) daripada syarikat penyedia modal pada minggu lalu.

Dipimpin syarikat penyedia modal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Andreessen Horowitz dan Lightspeed Venture Partners, pusingan pendanaan terbaru itu diraih lapan bulan selepas syarikat itu menerima pembiayaan awal sebanyak AS$5 juta daripada syarikat pencepat (accelerator) permainan a16z Speedrun milik  Andreessen Horowitz, dan syarikat penyedia modal berpangkalan di Amerika, Konvoy dan Tirta pada akhir 2023.

Syarikat k-ID telah membangun perisian, dipercayai yang pertama seumpamanya, yang membolehkan ibu bapa mengatur kawalan dan pengesahan yang mematuhi peraturan berlainan, tanpa mengira di mana pemain berada.

Ibu bapa boleh mengatur pengalaman alam siber yang sesuai dengan tahap kematangan digital anak mereka.

Antara lain, mereka boleh menyesuaikan akses kepada ciri seperti sembang, mesej peribadi dan pembelian dalam aplikasi, lapor The Straits Times (ST).

Teknologi k-ID juga membantu pembangun perisian memahami bila masanya kanak-kanak tidak seharusnya menerima iklan perjudian, filem yang dinilai ‘matang’, atau kandungan kategori Terbatas ‘R’ mengikut peraturan tempatan.

Di sebilangan negara, penerbit permainan juga boleh mengesahkan umur setiap pengguna berdasarkan maklumat pengenalan yang dikeluarkan pemerintah, satu langkah penting dalam usaha memerangi bahaya di alam siber.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) k-ID, Encik Kieran Donovan, berkata penerbit permainan berdepan pelbagai kerumitan sejak 10 tahun lalu dalam melindungi pemain muda.

Oleh itu, kini terdapat kesedaran daripada industri bahawa masalah tersebut perlu diatasi.

Menurut Encik Donovan, beliau terdorong mencari huraian kepada masalah itu, disebabkan pengalaman trauma yang dialaminya semasa zaman kanak-kanak yang melibatkan penganiayaan seksual.

Selain itu, sebagai bapa kepada dua anak lelaki, beliau ingin menjalankan peranan melindungi keselamatan golongan muda yang menggunakan Internet.

Kini pengendali wadah, termasuk e-dagang dan permainan, menghadapi tekanan kian meningkat untuk mengenal pasti pemegang akaun mereka dan menggalak interaksi dalam talian secara bertanggungjawab disebabkan bahaya di alam siber.

Bahaya tersebut termasuk kegiatan trolling atau perbuatan mengganggu orang lain oleh mereka yang berselindung di sebalik nama samaran, buli siber, asuhan seksual dan penipuan.

Oleh itu, terdapat keperluan untuk melaksana langkah melindungi kanak-kanak sekarang ini yang sering melayari alam siber, jelas Encik Donovan.

Syarikat k-ID menyatakan banyak penerbit permainan telah mendaftar sebagai pelanggannya. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama penerbit berkenaan.

Teknologi k-ID dijangka dapat digunakan pada Ogos ini untuk pelbagai permainan di PlayStation, Nintendo Switch, Steam, Xbox dan Epic Games Store.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg