Untuk menangani cabaran pengambilan pekerja, majikan harus membantu pekerja beralih kepada peranan baru yang memenuhi aspirasi mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), Cik Dilys Boey, di Forum SkillsFuture pada 9 Julai.
“Apabila berurusan dengan pekerja yang memegang jawatan sama sepanjang 20 atau 30 tahun yang lalu, sukar untuk memindahkan mereka ke pekerjaan baru.
“Adalah penting untuk memberi sokongan bagi perkembangan dalaman bagi membantu mereka mencapai matlamat mereka,” ujar beliau.
Menurut Cik Boey, terdapat empat isu yang wujud dalam ruang pengambilan pekerja pada masa ini, iaitu kemahiran dan jangkaan yang tidak sepadan; tenaga kerja yang semakin tua; tempoh kerja lebih panjang dan saiz Singapura yang kecil, lapor The Straits Times (ST).
Beliau merupakan antara empat anggota panel yang berucap di Forum SkillsFuture, yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Turut hadir ialah Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Anggota panel lain ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) (ketua negara) di pertubuhan bukan mencari untung, Generation Singapore, Cik Gloria Arlini; Ketua Perundingan di firma keselamatan siber, Ensign InfoSecurity, Encik Lim Minhan; dan CEO di Fei Siong FastFood. Encik Jedrick Tan.
Perbincangan tersebut dikendalikan oleh moderator, Cik Lee Su Shyan, editor bersekutu The Business Times (BT).
Forum sehari di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) di Paya Lebar itu adalah yang pertama daripada banyak acara Festival SkillsFuture yang akan berlangsung hingga 21 Julai.
Forum tersebut, yang memberi tumpuan kepada pengiktirafan kemahiran dan membina kerjaya, dianjurkan oleh SkillsFuture Singapura dan disokong oleh BT dan SPH Media.
Ia membincangkan topik seperti pengambilan pekerja berdasarkan kemahiran, kesihatan kerjaya, menyiapkan pekerja untuk masa depan, dan menyelaras kemahiran pekerja mengikut keperluan industri.
Cik Boey berkata untuk menangani cabaran pengambilan pekerja, syarikat dan pertubuhan perlu menjadikan bimbingan kerjaya dan nasihat kerjaya lebih mudah diperoleh pekerja.
Majikan juga harus mempertimbangkan lebih daripada sekadar keupayaan teknikal, dan meluaskan pendekatan pengambilan pekerja untuk menyertakan calon daripada pelbagai latar belakang dengan kemahiran boleh alih, tambah beliau.
Menurut Cik Arlini, adalah berbaloi bagi majikan mengambil pekerja berdasarkan kemahiran.
“Anda tidak boleh tersilap melabur dalam kemahiran,” katanya, sambil menambah bahawa syarikat juga perlu mempunyai sistem yang boleh menyokong pekerja apabila mereka ingin belajar semula dan meninggalkan kemahiran lalu.
Menurut beliau, syarikatnya tidak mahu kakitangannya hanya sekadar menerima peranan dan tugasan baru, tetapi mahu mereka berkembang maju.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg