Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geran baru bantu syarikat tempatan terkesan tarif

Geran Penyesuaian Perniagaan yang dilancar pada 7 Oktober oleh EnterpriseSG terhad kepada $100,000 setiap syarikat
Oct 7, 2025 | 5:29 PM
DPM Gan, Geran Penyesuaian Perniagaan, EnterpriseSG
Geran itu pertama kali diumumkan pada Julai oleh Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong. - Foto fail

Di bawah geran baru, syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan yang terkesan dengan tarif boleh menuntut sehingga separuh daripada kos penyesuaian, sementara syarikat tempatan yang lebih besar pula boleh menuntut sehingga 30 peratus.

Geran Penyesuaian Perniagaan (BizAdapt) yang dilancarkan pada 7 Oktober oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG), terhad kepada $100,000 bagi setiap syarikat.

Permohonan kini dibuka di Portal Geran Perniagaan pemerintah, dan geran itu tersedia untuk tempoh dua tahun sehingga 6 Oktober 2027.

Tempoh itu boleh dilanjutkan jika perlu, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa menjawab soalan wartawan, lapor The Business Times (BT).

“Geran ini adalah khusus dan tertumpu kepada kesan tarif.

“Oleh itu, setelah tarif stabil, kita mungkin perlu melihat skim dan program lain untuk menyokong syarikat-syarikat dalam persekitaran baru,” kata beliau.

Geran itu pertama kali diumumkan pada Julai oleh Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) yang dipengerusikan oleh Encik Gan.

Pada 7 Oktober, Encik Gan menyatakan bahawa BizAdapt menyokong syarikat yang terkesan secara langsung dan tidak langsung oleh tarif.

Kesan tidak langsung merujuk kepada syarikat yang mengeksport produk ke negara selain Amerika Syarikat, tetapi produk tersebut merupakan sebahagian daripada barangan akhir yang akan dihantar ke negara itu.

Geran tersebut menawarkan sokongan dalam dua bidang utama iaitu perkhidmatan nasihat pihak ketiga dan kegiatan penyusunan semula rantaian bekalan.

Perkhidmatan nasihat merangkumi perkara seperti Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) dan pematuhan perdagangan; isu undang-undang dan kontrak; serta pengoptimuman rantaian bekalan dan peluasan pasaran.

Bagi penyusunan semula, syarikat boleh menuntut kos yang berkaitan dengan logistik seperti caj penghantaran dan penyimpanan inventori, seperti sewa gudang.

Presiden Forefront, Encik Walter Tarca, berkata syarikatnya merancang memohon geran itu bagi menampung kos penyusunan semula rantaian bekalan kerana ia adalah usaha yang “sangat mahal”.

“Setiap kali anda membuat perubahan, ia melibatkan faktor pematuhan, faktor penilaian semula. Ia boleh mengambil masa yang lama,” katanya.

Beliau menambah, pelanggan syarikatnya kebanyakannya berasal dari Eropah dan Amerika, dan mereka berharap pembekal seperti Forefront dapat membantu mengurangkan peningkatan kos yang didorong oleh tarif.

Beberapa tahun yang lalu, Forefront membangunkan kilang di Juarez, Mexico, sebagai usaha untuk “mendekatkan” pengeluaran ke Amerika. 

Kini, mereka menggalakkan beberapa pelanggan supaya mempertimbangkan Singapura sebagai lokasi pengeluaran alternatif.

Mereka turut membina sebuah kilang di China untuk pengeluaran peranti bagi pelanggan China yang akan diedarkan dalam negara tersebut.

“Bagi saiz syarikat kami, kami perlu lincah dan terus mengembangkan kemampuan untuk meyakinkan pelanggan untuk memilih Singapura sebagai lokasi produk perubatan mereka,” tambah Encik Tarca.

Menurut Encik Gan, selain menyokong syarikat, pemerintah turut menyokong pekerja, terutama lulusan baru yang bimbang tentang memasuki pasaran kerja.

Program Latihan Industri Graduan telah menarik golongan tersebut, katanya.

Walaupun pasaran buruh “secara amnya masih kukuh”, pemerintah “bersedia melakukan lebih banyak jika perlu”, ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg