Syarikat Singapura akan dapat memanfaatkan satu geran baru untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran tarif baru, menurut Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert).
Geran Penyesuaian Perniagaan, yang akan dilancarkan menjelang Oktober, akan dihadkan pada $100,000 bagi setiap syarikat dan memerlukan pembiayaan bersama oleh syarikat, kata Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng.
Beliau berkata demikian semasa pasukan petugas tersebut memberikan kemas kini mengenai usahanya setakat ini dalam sidang media Sert pada 10 Julai.
Syarikat kecil dan sederhana (SME) dijangka menerima peratusan pembiayaan bersama yang lebih tinggi daripada pemerintah berbanding syarikat lebih besar.
Butiran lanjut mengenai geran tersebut akan diumumkan pada Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Dr Tan, geran tersebut akan menyokong dua kumpulan perniagaan.
Bagi syarikat yang mengeksport atau beroperasi di pasaran luar negara, geran tersebut akan membantu dalam khidmat nasihat berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA), pematuhan perdagangan, isu perundangan dan kontrak, usaha mengoptimumkan rantaian bekalan, serta kepelbagaian pasaran.
Bagi syarikat yang menjalankan operasi pengilangan sama ada di Singapura atau luar negara, geran tersebut boleh membantu menampung kos penyesuaian semula, seperti kos logistik dan penyimpanan inventori.
Geran tersebut direka untuk membezakan antara SME dengan syarikat besar, kata Dr Tan.
“SME akan menerima sokongan lebih murah hati, kerana ia membentuk sekitar dua pertiga daripada tenaga kerja Singapura, dengan sebahagian besar adalah warga Singapura,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan berangkat ke Amerika Syarikat pada akhir Julai untuk menghadiri rundingan perdagangan, lapor The Business Times (BT).
Beliau berhasrat meneruskan perbincangan mengenai eksport farmaseutikal Singapura bersama rakan sejawatannya dalam pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, katanya dalam sidang media tersebut.
“Kami sedang berbincang dengan Jabatan Perdagangan Amerika tentang bagaimana kita boleh membangunkan satu sistem dan amalan yang praktikal dan boleh dilaksanakan, kerana sektor farmaseutikal mempunyai rantaian bekalan yang sangat rumit dan panjang,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak dapat berkongsi maklumat lanjut.
Pada Mei, Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata bahawa rundingan sedang dijalankan mengenai kemungkinan eksport farmaseutikal Singapura boleh dikecualikan daripada tarif, sebagai pertukaran bagi jaminan rantaian bekalan.
Semasa lawatannya itu, Encik Gan juga merancang bertemu wakil perniagaan dan ahli akademik untuk “memahami kebimbangan, keutamaan dan kepentingan Amerika dengan lebih baik, serta meneroka peluang kerjasama untuk memperkukuh hubungan dua hala”.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, anggota pasukan petugas tersebut, berkata bahawa Sert sudah pun berinteraksi dengan lebih 3,000 individu setakat ini, termasuk pemimpin perniagaan, pemimpin kesatuan sekerja, pekerja dan siswazah baru.
Menurut beliau, sesetengah perniagaan sedang memantau keadaan, manakala yang lain memutuskan untuk menangguhkan atau membatalkan keputusan pelaburan, atau sedang menilai semula rancangan perniagaan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg