Rangkaian pasar raya Giant tidak lama lagi akan menutup satu lagi cawangannya di Singapura pada 2024, sedang ia bergelut dengan persaingan sengit daripada peruncit dalam talian dan pasar raya lain.
Sejak Februari, Giant telah menutup sebuah pasar raya besar di Sembawang Shopping Centre, tiga pasar raya di Bishan, Ang Mo Kio dan Bukit Panjang, serta empat kedai ‘Express’ yang lebih kecil di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Pasir Ris, Redhill dan Punggol.
Kini satu lagi cawangan Giant di Toa Payoh Lorong 4 akan ditutup pada September, menjadikannya cawangan kesembilan yang ditutup.
Dengan penutupan itu, Giant kini mempunyai 45 cawangan perniagaan di sini, turun daripada 53 pada Februari.
Bagaimanapun, syarikat penjual barangan keperluan harian itu membuka satu cawangan baru di kawasan perumahan baru Tengah pada 2024.
Dari 2020 hingga 2023, bilangan pasar raya dan kedai Giant agak mantap iaitu sekitar 53 hingga 55 cawangan.
Penutupan sebilangan cawangan Giant di Singapura berlaku sedang perniagaan syarikat itu di rantau ini semakin merosot.
Syarikat induknya, DFI Retail Group, keluar daripada pasaran runcit Malaysia pada Mac 2023 dengan menjual pemilikan sahamnya dalam GCH Retail, yang mengendali rangkaian Giant, Mercato dan Giant Mini di Malaysia.
Pada 2021, kumpulan runcit PT Hero Supermarket, dengan DFI merupakan pemegang saham majoriti syarikat itu, menutup kesemua pasar raya Giant miliknya di Indonesia, selepas pendapatan syarikat itu menjunam 34 peratus berbanding 2020.
Beberapa pakar runcit berkata DFI mungkin menutup cawangan Giant di sini disebabkan beberapa faktor seperti kadar sewa tinggi dan persaingan daripada rangkaian pasar raya lain.
Faktor lain termasuk sikap pelanggan yang kini lebih selesa membuat pembelian dalam talian bagi barangan keperluan rumah, yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19.
Seorang pekerja di pasar raya Giant di Toa Payoh Lorong 4 berkata kepada The Straits Times (ST) pada 2 September bahawa perniagaan di pasar raya itu kurang laris sejak setahun lalu, antaranya disebabkan persaingan daripada dua cawangan FairPrice di lokasi berhampiran.
Pekerja tersebut, yang enggan dinamakan, berkata kakitangan dimaklumkan oleh pihak pengurusan Giant bahawa mereka akan dipindahkan ke cawangan Cold Storage – yang juga dimiliki DFI – selepas pasar raya itu ditutup.
Ketua Program Pemasaran di Sekolah Perniagaan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Lau Kong Cheen, berkata Giant menghadapi persaingan sengit dalam kategori pasar raya kelas rendah hingga pertengahan.
“Sheng Siong dan FairPrice sangat dominan. (Kedai runcit dalam talian) RedMart pula berupaya memanfaatkan wadah Lazada untuk membuat pengiklanan silang,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg