BENGALURU (India): Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (GIC), dijangka mengambil 25 peratus kepentingan dalam usaha niaga jalur lebar gentian optik antara MasOrange dengan Vodafone Sepanyol.
Demikian menurut akhbar Financial Times (FT) pada 4 Ogos yang memetik beberapa sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Menurutu laporan itu, pelaburan GIC dalam syarikat tersebut dijangka diumumkan seawal 4 Ogos, dan pegangan kepentingan GIC dianggarkan bernilai sekitar 1.4 bilion euro ($2.1 bilion).
Perjanjian tersebut dibuat selepas unit milik Zegona Communications, Vodafone Sepanyol, dan MasOrange bersetuju pada Januari untuk menubuhkan syarikat rangkaian gentian baru di Sepanyol, dengan Zegona yang disenaraikan di London dijangka memegang 10 peratus kepentingan dalam usaha niaga itu.
Ketika perjanjian tersebut diumumkan, pihak yang terlibat juga sedang mencari pelabur yang diharapkan akan memiliki 40 peratus kepentingan dalam perniagaan baru tersebut.
GIC, Vodafone Sepanyol, Zegona dan MasOrange tidak segera menjawab permintaan agensi berita, Reuters, untuk mengulas mengenai perkara tersebut.
Zegona memperoleh Vodafone Sepanyol dalam satu perjanjian bernilai 5 bilion euro pada 2024, sebagai sebahagian daripada langkah Vodafone Group untuk keluar daripada operasi niaganya di Sepanyol.
Sepanyol memiliki salah satu rangkaian jalur lebar gentian optik terbesar di Eropah.
Namun, pertindihan perkhidmatan yang meluas antara beberapa pengendali telah menyebabkan persaingan sengit.
Pelabur seperti dana pencen dan firma ekuiti privet tertarik kepada sektor itu sejak beberapa tahun lalu disebabkan pulangan mantap dan perbelanjaan rendah setelah rangkaian jalur lebar digunakan.
MasOrange adalah hasil penggabungan antara syarikat telekomunikasi, Masmovil Iberco, dengan Orange di Sepanyol.
Orange memiliki pegangan 50 peratus dalam MasOrange, dengan baki pegangannya dimiliki tiga dana pelaburan – Cinven, KKR & Co, dan Providence Equity Partners – serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MasOrange bersama beberapa pihak lain. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg