Peruntukan awal sebanyak $1.1 bilion akan diberikan kepada tiga pengurus aset untuk dilaburkan dalam pasaran saham tempatan, dalam usaha mempertingkat kecairan pasaran dan memulihkan keyakinan pelabur, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 21 Julai.
Bercakap dalam satu sidang media, Timbalan Pengerusi MAS, Encik Chee Hong Tat, berkata:
“Kami mahu melihat lebih banyak penyertaan daripada pelabur runcit, yang bukan sekadar melihat pasaran saham sebagai pertaruhan jangka pendek.
“Namun, sebagai cara untuk membuat pelaburan jangka panjang demi membina simpanan pelaburan mereka, yang saya rasa boleh membantu golongan muda dan pertengahan usia membuat persediaan persaraan yang lebih mencukupi.”
Tiga pengurus dana yang terlibat ialah Avanda Investment Management, Fullerton Fund Management dan JP Morgan Asset Management, lapor The Straits Times (ST).
Avanda Investment diasaskan Encik Ng Kok Song, mantan Ketua Pegawai Pelaburan Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) dan juga calon dalam Pilihan Raya Presiden Singapura 2023.
Fullerton Fund Management pula adalah sebahagian daripada Seviora Holdings, sebuah kumpulan pengurusan aset bebas yang dimiliki sepenuhnya oleh Temasek Holdings.
Dana $1.1 bilion ini adalah sebahagian daripada dana $5 bilion yang diperuntukkan di bawah Program Pembangunan Pasaran Ekuiti yang diumumkan MAS pada Februari.
Program itu bertujuan menggalak dagangan saham syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX) serta merancakkan semula pasaran saham negara.
Di bawah program itu, modal akan diagihkan kepada pelbagai dana yang diuruskan pengurus dana tempatan dan asing yang berpangkalan di Singapura.
Jenis strategi pelaburan yang layak mendapat peruntukan tersebut termasuk dana yang memberi tumpuan kepada ekuiti Singapura, atau yang memperuntukkan sebahagian besar pelaburannya kepada ekuiti tempatan dalam portfolio serantau atau mengikut kategori tertentu.
Ketiga-tiga pengurus dana tersebut dipilih berdasarkan sejauh mana strategi dana yang dicadangkan selari dengan objektif program tersebut, serta kekuatan rancangan mereka untuk menarik modal pihak ketiga ke dalam strategi tersebut bersama dana yang disediakan MAS.
MAS menambah bahawa syarikat-syarikat tersebut turut dipilih kerana komitmen mereka untuk “memperluaskan atau menyumbang kepada peningkatan kemampuan pengurusan aset dan penyelidikan di Singapura”.
“Khususnya, strategi dana tersebut perlu mempunyai tumpuan jelas kepada usaha meningkatkan kecairan dan memperluas penyertaan dalam ekuiti Singapura, dengan peruntukan besar kepada saham dengan modal kecil dan sederhana,” menurut kenyataan tersebut.
“Dengan melabur melalui pengurus dana yang menggunakan pelbagai strategi, program ini dapat memanfaatkan kepelbagaian kepakaran pelaburan dan rangkaian pengedaran mereka, untuk menarik modal komersial dan mengukuhkan kerancakan pasaran,” kata MAS.
Para pengurus aset di bawah program itu bertanggungjawab terhadap keputusan pelaburan dan pengurusan portfolio harian.
MAS menegaskan bahawa ia tidak memberi jaminan terhadap prestasi pelaburan mereka.
Encik Chee yang juga Menteri Pembangunan Negara berkata kepada media bahawa inisiatif itu bukan sekadar suntikan dana ke dalam pasaran Singapura, bahkan turut bertujuan untuk membangunkan industri pengurusan dana.
“Pada masa sama, kami mahu pengurus dana ini mampu menarik modal swasta, serta menggalakkan minat dan kecairan yang lebih tinggi dalam ekuiti Singapura, khususnya dalam kalangan syarikat dengan modal kecil dan sederhana,” katanya.
MAS telah menerima permohonan daripada lebih 100 pengurus dana sejagat, serantau dan tempatan, dan sedang meneliti permohonan mereka secara berperingkat untuk mempercepat proses pelantikan lebih ramai pengurus dana dan pengagihan modal.
Kumpulan pengurus dana seterusnya dijangka diumumkan menjelang suku keempat 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg