Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GIC: Inflasi, ketegangan geopolitik jejas hasil pelaburan

Badan pelaburan negara catat 3.9 peratus pulangan tahunan dalam tempoh 20 tahun
Jul 24, 2024 | 12:42 PM
Prospek pelaburan masih menghadapi pelbagai risiko, walaupun makroekonomi nampak kekal bertahan baru-baru ini, menurut dana pelaburan pemerintah Singapura, GIC.
Prospek pelaburan masih menghadapi pelbagai risiko, walaupun makroekonomi nampak kekal bertahan baru-baru ini, menurut dana pelaburan pemerintah Singapura, GIC. - Foto ZAOBAO

Dana pelaburan milik pemerintah, GIC, mencatatkan pulangan pusingan 20 tahun terendah dalam empat tahun, susulan pulangan lebih rendah sejak beberapa tahun lalu, yang juga disebabkan oleh inflasi tegar.

GIC, yang merupakan salah satu daripada tiga dana harta yang menyumbang kepada rizab Singapura, melaporkan pulangan 3.9 peratus berdasarkan pusingan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

Pulangan ini mengambil kira inflasi, di mana kadar pulangan terkini, bagi tempoh April 2004 hingga Mac 2024, telah menurun dari 4.6 peratus bagi 2023, 4.2 peratus (2022) dan 4.3 peratus pada 2021.

Menurut GIC, inflasi tegar, ketegangan geopolitik yang meningkat dan ekonomi China yang lembap telah menjejaskan landskap pelaburan global, melembapkan prospek pulangan jangka sederhana dan menjadikan nisbah risiko-ganjaran kurang menggalakkan.

Tetapi kecerdasan buatan (AI) boleh muncul sebagai tanda perubahan, dengan penggunaan teknologi yang lebih pantas yang berpotensi memacu penghasilan melalui bidang seperti automasi, analisis ramalan dan proses membuat keputusan yang lebih baik, kata GIC dalam laporan tahunannya pada 24 Julai.

“Kuasa ini memacu usahanya untuk membina portfolio yang berdaya tahan dan tangkas untuk mengawal risiko dalam persekitaran pelaburan yang lebih tidak menentu sambil mengejar peluang baru”, menurut badan itu yang ditukil akhbar The Straits Times (ST).

Dalam laporannya bertajuk Sharpening Our Edge Amidst Challenging Times (Memperkasa Kelebihan Kita Di Tengah-Tengah Keadaan Yang Mencabar), GIC berkata, walaupun daya tahan makroekonomi baru-baru ini telah mengurangkan risiko kemelesetan jangka pendek, risiko kekal pada prospek pelaburan.

Sebagai contoh, jika inflasi global terbukti lebih berpanjangan daripada jangkaan, malah meningkat, bank-bank pusat mungkin bukan sahaja perlu mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk lebih lama, tetapi juga berpotensi menaikkannya.

Ini akan meningkatkan risiko kemelesetan dan memberi tekanan kepada isi rumah dan perniagaan yang sudah bergelut dengan kos pinjaman yang tinggi.

GIC juga menekankan risiko kelembapan yang lebih mendadak dalam ekonomi China jika kemerosotan pasaran hartanah negara itu bertambah buruk.

Selain itu, risiko geopolitik, seperti pergolakan lebih meluas di Timur Tengah, boleh menghalang pertumbuhan dan meningkatkan inflasi melalui gangguan kepada bekalan dan perdagangan minyak.

Dana itu berkata walaupun AI menawarkan prospek peningkatan produktiviti, tidak semua ekonomi dan syarikat bersedia untuk mengambil kesempatan daripadanya.

Kepantasan penggunaan AI, peningkatan kendiri dan pengawalannya akan menjadi faktor utama, menjadikannya sukar untuk mengukur keuntungan produktiviti teknologi itu.

Laporan itu juga menekankan, penggunaan AI menimbulkan risiko masyarakat yang mesti diuruskan pemerintah secara proaktif. Teknologi ini akan menyebabkan perpindahan tenaga buruh, dengan ekonomi maju paling terdedah.

Walau bagaimanapun, ekonomi yang sama ini lebih bersedia menggunakan potensi AI, yang boleh membantu mengurangkan beberapa kesan negatif terhadap pasaran buruh.

Terdapat juga perbezaan ketara dalam kesediaan AI merentas kededua ekonomi maju dan sedang pesat membangun, serta kalangan syarikat.

Apabila ditanya tentang keputusan pelaburan masa depan GIC di sekitar AI, ketua pegawai pelaburan kumpulan, Encik Jeffrey Jaensubhakij, berkata GIC perlu memahami cara pelbagai syarikat merancang untuk menggunakan AI, mengenal pasti mereka yang mungkin menggunakannya dengan berkesan, dan menentukan ciri utama syarikat-syarikat ini.

GIC telah melabur dalam beberapa syarikat berkaitan AI dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Mei, ia mengetuai pusingan pembiayaan AS$105 juta ($141 juta) untuk Atlan, firma rintisan data dan AI berpangkalan di Singapura, dan pada September 2023, ia menyertai pusingan pembiayaan AS$500 juta untuk Databricks, firma rintisan risikan data di Amerika Syarikat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg