Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chee Hong Tat: Labur dana GIC ‘bukan huraian’ jadikan pasaran ekuiti S’pura lebih menarik

Jul 2, 2024 | 7:07 PM
Pemerintah tidak seharusnya mengarah atau campur tangan dalam keputusan pelaburan GIC, kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.
Pemerintah tidak seharusnya mengarah atau campur tangan dalam keputusan pelaburan GIC, kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat. - Foto fail

Tindakan mengarah dana kekayaan negara, GIC, untuk melabur dalam syarikat tersenarai di Singapura “bukanlah huraian” untuk menjadikan pasaran ekuiti Singapura lebih menarik.

Ini kerana ia akan menjejas matlamat pemerintah dalam menubuhkan GIC, kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat pada 2 Julai.

Langkah tersebut tidak akan memanfaatkan Singapura dan rakyat Singapura, tambah Encik Chee, dalam jawapannya kepada soalan parlimen daripada Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa.

Encik Liang telah bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbang cadangan beberapa pemain industri bahawa GIC harus memperuntuk sebahagian daripada pelaburannya kepada sekuriti yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX), untuk membantu merancakkan perniagaan di sini.

GIC menguruskan rizab asing Singapura.

Isu sama ada GIC harus mengembangkan portfolio perniagaannya dan menyertakan pasaran Singapura muncul semula baru-baru ini selepas akhbar Financial Times melaporkan SGX sedang meneliti beberapa cadangan daripada Persatuan Penyedia Modal dan Modal Swasta Singapura (SVCA) untuk meningkatkan perniagaan di SGX.

Ini termasuk membolehkan dana pencen dan dana kekayaan negara dilabur dalam pasaran saham.

Pemerhati pasaran turut memberitahu The Business Times (BT) sudah tiba masanya untuk mempertimbang secara serius cadangan melaburkan dana GIC dalam pasaran saham tempatan untuk meningkatkan penilaian dan keyakinan pelabur.

Menurut Encik Chee, mandat GIC adalah untuk memelihara dan meningkatkan kuasa membeli dana rizab negara di peringkat antarabangsa.

Pelaburan GIC mesti bertujuan mencapai pulangan jangka panjang yang baik.

“Oleh itu, GIC mesti terus membuat keputusan pelaburan profesional, dan pemerintah tidak seharusnya mengarah atau campur tangan dalam keputusan pelaburan GIC,” katanya.

Pada masa ini, GIC boleh melabur dalam syarikat Singapura yang sesuai jika ia mempunyai kesan di peringkat sedunia dan menjana pulangan yang baik, tambahnya.

Menurut Encik Chee, “cara lebih mampan” untuk membangun pasaran ekuiti tempatan adalah dengan mempunyai sebilangan syarikat yang baik disenaraikan di SGX.

Pemerintah akan terus melatih dan membangun syarikat tempatan yang mempunyai potensi sedemikian, dan membantu syarikat tersenarai di SGX untuk melebarkan sayap ke luar negara agar ia menjadi lebih menarik kepada pelabur di seluruh dunia.

“Pemerintah terus terbuka kepada idea dan langkah baru untuk menambah baik pasaran ekuiti kita dan menyokong pertumbuhan perniagaan.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk mencapai matlamat ini,” ujar Encik Chee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg