NEW YORK: Google pada 20 Ogos melancarkan telefon bijak Pixel 10 baru yang menjanjikan lebih banyak keupayaan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mengatasi persaingan dalam pasaran pembantu AI yang sedang berkembang.
Pelawak, Jimmy Fallon, menjadi hos majlis pelancaran di Brooklyn yang menggabungkan promosi produk Google dengan bintang terkenal seperti kumpulan The Jonas Brothers dan Stephen Curry dari pasukan bola keranjang Golden Gate Warriors.
“Ini sangat menarik,” kata Jimmy, hos program The Tonight Show di NBC, dalam monolog pembukaan.
Barisan produk baru itu termasuk telefon lipat, jam tangan bijak Pixel yang dipertingkat dan fon telinga yang semuanya diselaraskan untuk bekerja dengan AI dan antara satu sama lain.
“Pixel terus menjadi cara terbaik untuk orang ramai mencuba AI terkini dari Google,” kata pengurus produk, Encik Tyler Kugler semasa taklimat bersama wartawan.
Telefon Pixel menguasai sebahagian kecil pasaran telefon bijak premium yang dikuasai oleh Apple, Samsung, dan Xiaomi, tetapi ia memberi peluang kepada Google untuk menunjukkan potensi sistem operasi Android dan pembantu AI Gemini.
Sedang Samsung sering menjadi penjual telefon bijak terbesar di dunia, produknya menggunakan perisian Android.
“Pada mulanya, peranti Google Pixel direka sebagai pameran teknologi untuk mengehadkan pemecahan Android dan mempercepatkan inovasi,” kata penganalisis utama Forrester, Encik Thomas Husson.
“10 tahun kemudian, cabaran strategik Google masih bukan untuk menjadi peneraju pasaran, bahkan untuk menunjukkan kelebihan ekosistem bersepadunya,” tambah beliau.
AI dalam telefon Pixel baru membolehkan pembantu AI Gemini menggunakan kamera untuk “melihat” apa yang dilihat pengguna dan memberi jawapan atau tip tentang lokasi, objek atau situasi.
Google menggambarkan Pixel Watch 4 sebagai kemas kini terbesar dengan penjejakan kecergasan yang dipertingkat untuk kegiatan seperti berjalan, berbasikal dan tenis.
Ia juga membolehkan pengguna memberi arahan kepada pembantu AI Gemini dari pergelangan tangan.
Gemini dapat mengesan ‘mood’ pengguna dan menyesuaikan tindak balasnya, serta “melihat” melalui kamera untuk memberi cadangan foto, menurut pasukan Google.
Harga Pixel 10 bermula daripada AS$799 ($1,027), dengan model Pixel Pro Fold bermula pada $1,799. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg