Anak syarikat Alphabet, Google, yang sudah menghadapi serangan kawal selia yang belum pernah berlaku sebelum ini, merancang untuk membentuk persepsi dan dasar awam mengenai kecerdasan buatan (AI) menjelang satu gelombang sejagat pengawalan AI.
Satu keutamaan, kata seorang eksekutif, adalah dalam membina program pendidikan untuk melatih tenaga kerja mengenai AI.
“Mendapatkan lebih ramai orang dan pertubuhan, termasuk pemerintah, membiasakan diri dengan AI dan menggunakan alatan AI, akan mewujudkan dasar AI yang lebih baik dan membuka peluang baru – ia adalah lingkaran yang mulia,” kata Encik Kent Walker, presiden ehwal sejagat Alphabet.
Sedang Google berlumba-lumba untuk bersaing dengan Big Tech (syarikat gergasi teknologi) terbaik termasuk OpenAI yang disokong Microsoft dan Meta dalam arena AI, Google sedar akan penelitian kawal selia yang berat terhadapnya dalam perniagaan pengiklanan dan enjin carian.
Di Kesatuan Eropah (EU), Google telah menawarkan untuk menjual sebahagian perniagaan teknologi iklannya untuk menenangkan pengawal selia, lapor Reuters.
Di Amerika Syarikat, Jabatan Kehakiman (DOJ) sedang cuba untuk memaksa pemecahan penyemak imbasnya, Chrome Web – walaupun ia mungkin beralih arah di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Sementara itu, pemerintah di seluruh dunia sedang merangka peraturan baru mengenai isu yang boleh diburukkan oleh AI, seperti hak cipta dan privasi.
Akta AI EU itu, yang bertujuan menilai risiko dan memerlukan pendedahan daripada sistem AI kegunaan umum, telah menerima reaksi negatif daripada gergasi teknologi yang mungkin mendapati diri mereka menghadapi denda berbilion dolar.
DOJ juga telah berusaha menyekat kemajuan Google dalam AI sebagai satu penyelesaian dalam kes persekutuan yang mendapati perniagaan enjin cariannya adalah monopoli haram.
Eksekutif Google melihat peluang untuk membentuk naratif sekitar teknologi yang telah mencetuskan kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan secara besar-besaran.
Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Sundar Pichai, mengumumkan pada September 2024 satu dana pelaburan AS$120 juta ($161 juta) untuk membina program pendidikan AI.
Timbalan termasuk Encik Walker dan Cik Ruth Porat, presiden dan ketua pegawai pelaburan, semakin giat mengembara ke seluruh dunia untuk membincangkan cadangan dasar dengan para pemerintah.
Usaha termasuk mengembangkan Grow with Google, satu program gabungan dalam talian dan bersemuka yang menyediakan alatan latihan untuk perniagaan.
Ia melatih para pekerja dalam kemahiran seperti analisis data atau sokongan teknologi maklumat (IT) bagi mengembangkan prospek kerjaya mereka dalam bidang teknikal.
Pada Disember, syarikat itu berkata satu juta individu telah memperoleh sijil untuk program itu.
Kursus sahaja tidak mencukupi untuk mempersiap pekerja, kata Encik Walker. “Apa yang penting ialah objektif yang diusahakan orang ramai, seperti kelayakan yang boleh mereka gunakan untuk memohon pekerjaan.”
Dalam jangka panjang, Encik Walker berkata beliau menjangka sebahagian kecil pekerjaan sedia ada akan disingkirkan sepenuhnya oleh AI, memetik beberapa kajian yang ditugaskan oleh Google, Goldman Sachs dan McKinsey.
Kajian tersebut mencadangkan AI akan diterapkan ke dalam kebanyakan pekerjaan dalam beberapa kapasiti.
Sebagai sebahagian usaha Google untuk mempersiapkan peralihan ini, ia mendapatkan ahli ekonomi, Encik David Autor, sebagai rakan penyelidik untuk mengkaji kesan AI terhadap tenaga kerja.
Encik Autor berkata AI boleh digunakan untuk mencipta program latihan yang lebih mendalam, sama seperti simulator penerbangan.
“Orang dewasa tidak mahu kembali ke kelas. Latihan dalam bilik darjah tidak akan menjadi penyelesaian kepada banyak latihan semula,” tambahnya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg