Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Google ubah pelan, akan terus simpan kuki dalam Chrome

Jul 23, 2024 | 5:11 PM
Google mengubah rancangannya setelah pengiklan menyatakan bahawa ketiadaan kuki dalam Chrome akan membataskan keupayaan mereka mengumpul maklumat bagi iklan yang disesuaikan untuk individu.
Google mengubah rancangannya setelah pengiklan menyatakan bahawa ketiadaan kuki dalam Chrome akan membataskan keupayaan mereka mengumpul maklumat bagi iklan yang disesuaikan untuk individu. - Foto REUTERS

SAN FRANCISCO: Google merancang menyimpan kuki pihak ketiga dalam perisian pelayar Internet, Google Chrome, menurut syarikat itu pada 22 Julai.

Ini selepas syarikat itu selama bertahun-tahun bersetuju menghapuskan secara berperingkat “paket maklumat” atau kuki yang bertujuan menjejak pengguna di Internet.

Syarikat itu mengubah rancangannya dan membuat pusingan U, setelah pengiklan, yang merupakan sumber pendapatan terbesar Google, menyatakan bahawa ketiadaan kuki dalam Chrome, pelayar Internet paling popular di dunia, akan membataskan keupayaan mereka mengumpul maklumat bagi iklan yang disesuaikan bagi individu.

Ini akan menjadikan mereka bergantung pada pangkalan data pengguna Google.

Penguasa Persaingan dan Pasaran (CMA) Britain juga telah meneliti rancangan Google menyusuli kebimbangan bahawa ia akan menghalang persaingan dalam pengiklanan digital.

“Daripada menghapuskan kuki pihak ketiga, kami akan memperkenalkan pengalaman baru dalam Chrome yang membolehkan orang ramai membuat pilihan berdasarkan pengetahuan, melibatkan seluruh pelayaran mereka (di ruang siber).

“Mereka boleh menyesuaikan pilihan pada bila-bila masa,” kata naib presiden daya usaha Privacy Sandbox, Encik Anthony Chavez, dalam satu catatan blog.

Sejak 2019, unit syarikat Alphabet telah membangunkan Privacy Sandbox, yang disokong Google dan bertujuan meningkatkan privasi di ruang siber sambil menyokong perniagaan digital.

Matlamat utama daya usaha itu adalah menghapuskan kuki pihak ketiga secara berperingkat.

Kuki ialah “paket maklumat” yang membolehkan laman web dan pengiklan mengenal pasti setiap pengguna di ruang siber dan menjejak tabiat penggunaan Internet mereka.

Namun, ia juga boleh digunakan untuk pengawasan yang tidak diingini.

Di Kesatuan Eropah, penggunaan kuki dikawal oleh Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) yang memerlukan penerbit mendapatkan kebenaran pengguna sebelum menyimpan kuki.

Pelayar Internet utama juga memberi pilihan kepada pengguna memadam kuki.

Perubahan rancangan Google itu mendapat pelbagai reaksi.

Pakar teknologi kakitangan di Yayasan Electronic Frontier, Cik Lena Cohen, berkata kuki boleh membahayakan pengguna, contohnya penyiaran iklan yang menyasar kumpulan lemah dalam masyarakat.

“Keputusan Google untuk terus menyimpan kuki pihak ketiga, walaupun pelayar Internet utama lain sudah menyekatnya selama bertahun-tahun, adalah disebabkan model perniagaannya yang didorong iklan,” kata Cik Cohen dalam satu kenyataan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg