Grab menjalinkan kerjasama dengan pengeluar kereta China, BYD, untuk menyediakan sehingga 50,000 kenderaan elektrik (EV) BYD kepada rakan pemandu mereka di serata Asia Tenggara.
Kerjasama ini dijangka meningkatkan penggunaan EV di rantau ini, yang sebelum ini terhalang oleh kos permulaan yang tinggi, kata kedua-dua syarikat pada 15 Januari.
Rakan kongsi kenderaan dan pemandu Grab akan mendapat akses kepada kenderaan BYD pada “harga paling kompetitif”, dengan waranti tambahan untuk bateri EV, tambah mereka.
Pemandu juga akan mempunyai pilihan untuk menyewa EV daripada rakan kongsi kenderaan Grab atau mendapatkan sokongan pembiayaan melalui skim pemilikan kereta syarikat.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk meningkatkan ketersediaan kenderaan hijau kepada rakan kongsi Grab, lapor The Business Times (BT).
Kenderaan hijau merujuk kepada kenderaan yang menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding kenderaan berkuasa petrol atau diesel.
Di Singapura dan Thailand, rakan kongsi Grab akan dapat memilih kenderaan hijau tanpa bayaran tambahan, kata Grab dan BYD.
Encik Chuck Kim, pengarah urusan pembangunan perniagaan kumpulan Grab, berkata:
“Kerjasama ini membolehkan kami mempercepatkan peralihan kepada EV dengan mengurangkan halangan kewangan yang sering dikaitkan dengan EV, dan dalam jangka panjang memberi manfaat ekonomi kepada rakan pemandu kami – termasuk penjimatan pada kos bahan api.”
Selain itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk menyepadukan teknologi canggih antara kenderaan BYD dengan platform serta perkhidmatan Grab.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, aplikasi pemandu Grab akan dipasang pada unit utama kenderaan BYD.
Pemandu akan dapat melihat tugas, navigasi dan perbualan mereka pada skrin yang lebih besar, berbanding merujuk kepada telefon pintar mereka, kata kedua-dua syarikat.
Maklumat masa nyata juga akan diberikan kepada pemandu – yang mana data ini dapat digunakan untuk memperbaiki cara pemanduan mereka.
Grab akan dapat menggunakan data masa nyata daripada kenderaan BYD – seperti isyarat pengelap di papan pemuka dan kelajuan pemanduan – untuk memadankan pemandu dengan kawasan permintaan tinggi dan memberi anggaran masa ketibaan yang lebih tepat bagi perjalanan mereka.
Kerjasama ini akan meningkatkan navigasi dan perancangan laluan dengan bantuan data peta yang terhad kepada kawasan geografi yang kecil, serta perkhidmatan Grab.
Negara-negara yang akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini ialah Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Beberapa model kereta yang terlibat termasuk Denza D9 dan BYD Atto 3.
“
“Kerjasama ini membolehkan kami mempercepatkan peralihan kepada EV dengan mengurangkan halangan kewangan yang sering dikaitkan dengan EV, dan dalam jangka panjang memberi manfaat ekonomi kepada rakan pemandu kami – termasuk penjimatan pada kos bahan api.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg